collections khutbah Tubuhku, Amanahku
Tubuhku, Amanahku

 

Majlis Ugama Islam Singapura 

Khutbah Jumaat 

23 Mei 2025 / 25 Zulkaedah 1446H 

Tubuhku, Amanahku

Sidang Jumaat yang saya kasihi, 

Marilah kita memperkukuh takwa kepada Allah s.w.t., dan mengabdikan diri seolah-olah kita melihat-Nya. Jika ini tidak dapat kita lakukan, maka ingatlah bahawa Allah s.w.t. melihat setiap perbuatan kita dan mendengar setiap bisikan hati kita. Dialah Yang Maha Melihat lagi Maha Mendengar.  

Marilah kita berusaha mengisi kehidupan ini dengan tutur kata dan perbuatan yang mencerminkan sifat amanah. Semoga Allah s.w.t. tanamkan dalam diri kita nurani mukmin yang sebenar, dan tunjukkan kita jalan yang diredai-Nya. Amin, ya Rabbal ‘Alamin. 

 

Sidang Jemaah yang dikasihi Allah, 

Terdapat suatu ayat dalam al-Quran yang memberi peringatan kepada kita, akan hal keadaan setiap insan esok di hadapan Allah. Firman Allah dalam Surah Fussilat ayat 21: 

  

Yang bermaksud: “Mereka berkata kepada kulit mereka: 'Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami?' Kulit mereka menjawab: 'Allah, yang menjadikan segala sesuatu dapat bertutur, telah menjadikan kami dapat berbicara. Dialah yang menciptakan kamu pada kali pertama, dan hanya kepada-Nya kamu akan dikembalikan.’”

Saudaraku sekalian, beginilah keadaan insan esok. Pada Hari Kebangkitan, Hari Perhitungan, hari di mana setiap anggota badan dan kulit kita sendiri akan menjadi saksi di hadapan Allah 

‘azza wa jalla. Maka insan mukmin, berusaha untuk menjaga segala yang diamanahkan Tuhan kepadanya.  

Saudaraku. Persoalannya sekarang adalah : apakah itu amanah

 

Zumratal Mukminin Rahimakumullah, 

Amanah merupakan suatu tanggungjawab kepada insan untuk menunaikan sesuatu yang diberikan kepada kita dengan penuh moral, ketelusan dan kejujuran.  

Dalam Islam, amanah bukan hanya bermaksud beban tanggungjawab dari segi undang-undang atau sosial sematamata, akan tetapi ia mengandungi makna yang lebih mendalam. Ia merangkumi adab dan etika. Ia juga merangkumi aspek kerohanian. 

Amanah membawa makna ‘kepercayaan’. Kepercayaan bahawa setiap nikmat dan keistimewaan yang kita miliki adalah pinjaman daripada Allah s.w.t.. Kesemua pemilikan kita, termasuk anak dan isteri, rumah yang kita sayangi, harta kekayaan. Sehinggakan kita sekarang ini, walaupun sedang duduk mendengar khutbah ini, baju yang kita pakai, jasad yang kita miliki, penglihatan, pendengaran. Kesemuanya bukan milik mutlak kita.  

Kesemuanya milik Allah. Kurniaan Allah. Nikmat Allah.  

Segalanya merupakan amanah yang diperintahkan kepada kita untuk menggunakannya dengan betul dan disalurkan ke arah kebaikan. Inilah hakikat utama amanah dalam Islam – ia satu prinsip yang merangkumi setiap sudut kehidupan kita, baik dari sudut sosial mahupun kerohanian. 

Amanah menuntut kesedaran bahawa seseorang itu bertanggungjawab di hadapan Allah. Ia adalah ciri utama seorang mukmin, dan nilai asas yang mengawal tingkah laku peribadi, bermasyarakat dan kehidupan awam. 

 

Para Jemaah yang saya kasihi, 

Perhatikan kurniaan Allah seperti tubuh kita. Seorang Muslim tidak akan menyatakan "tubuhku, pilihanku". Tuan-tuan, apakah benar tubuh ini milik kita sepenuhnya? 

Penglihatan kita, pertuturan kita, pendengaran kita, dan seluruh anggota tubuh ini adalah amanah daripada Allah s.w.t., dan ia hanya layak digunakan dalam perkara yang diredai-Nya.  

Ingatlah sabda Rasulullah s.a.w. ini, dan sematkanlah ia dalam hati nurani kita: 

 

Yang bermaksud: “Tidak akan berganjak kaki seorang hamba pada Hari Kiamat sebelum dia ditanya tentang: umurnya – ke manakah dihabiskannya; ilmunya – apakah yang dilakukan dengannya; hartanya – dari mana diperolehinya dan ke mana dibelanjakannya; serta tentang tubuh badannya – bagaimana ia digunakan.” (Riwayat at-Tirmizi)

 

Sidang jemaah yang dikasihi sekalian, 

Sebagai hamba Allah ‘azza wa jalla, kita memikul amanah yang mulia ini. Ia menyeru kita agar memelihara tubuh badan dengan sebaik mungkin. Allah berfirman dalam Surah At-Tin, ayat 4: 

Yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.”

Allah s.w.t. telah mencipta kita dalam (ahsani taqwim) – bentuk yang paling indah dan sempurna – serta dengan kemuliaan dan kehormatan. Reka bentuk yang sempurna ini hendaklah dijaga mengikut aturan Allah, kerana dengan cara itulah kita memelihara kemuliaan kita sebagai makhluk-Nya. Sebagaimana kita menjaga barang yang dipinjam dengan penuh berhati-hati, demikian juga kita wajib menjaga tubuh badan kita – dengan penuh hormat, ketaatan dan mengikut perintah Allah. 

Ingatlah, wahai saudara-saudaraku, kita mesti bersedia menjaga amanah ini. Akan tiba satu hari nanti, di hadapan Allah – Al- Hasīb, Tuhan yang Maha Menghitung – mulut kita akan diam seribu bahasa, hanya tubuh badan kita akan berbicara – menceritakan kisah sebenar bagaimana kita menjalani kehidupan di dunia. Setiap perbuatan kita hari ini akan menjadi saksi – sama ada yang membela atau memburukkan kita nanti. 

 

Sidang jemaah yang dikasihi sekalian, 

 

Sebagai mukmin yang telah diamanahkan dengan pelbagai nikmat dan tanggungjawab, janganlah kita memandang ringan amanah yang dipertanggungjawabkan oleh Allah s.w.t. kepada kita. Setiap aspek dalam hidup ini adalah amanah – dan ia wajib ditunaikan dengan penuh ketelusan. Walaupun Allah telah memberikan kita pilihan dan kuasa untuk mengurus tubuh badan kita, ia tetap merupakan satu tanggungjawab yang akan dipersoalkan di hadapan-Nya. 

 

Maka marilah kita berusaha menjadi insan yang menjaga amanah dengan penuhtanggungjawab, yang berkata benar, bertindak adil, dan sentiasa sedar akan kehadiran Allah s.w.t. dalam setiap urusan. Mohonlah petunjuk-Nya agar kita dapat menunaikan amanah dan janji yang telah kita ikrarkan, dan tidak tergolong antara mereka yang mengabaikannya.

 

          

KHUTBAH KEDUA

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

 

Marilah kita menadah tangan ke hadrat Illahi. Dengan hati yang penuh telus. Dengan penuh pengharapan. Agar Allah menerima doa ini. Rintihan daripada seorang hamba yang serba kekurangan. Kepada Tuhan yang Maha Perkasa, yang Maha Mendengar. Doa kita khususnya untuk saudara kita yang terus dihimpit penderitaan dan sengsara di Gaza. Di saat bantuan daripada umat manusia terputus, ayuhlah kita sebagai ‘ibadullah, menghadap Tuhan semesta alam, Tuhan yang lebih berkuasa daripada setiap penguasa, yang lebih perkasa daripada setiap tentera, untuk terus melimpahkan bantuannya kepada mereka.  

 

Ya Allah, Tuhan yang Maha mendengar suara hati hamba-Nya, kurniakanlah kami pengampunan, sesungguhnya kami adalah hamba-hamba-Mu yang sering alpa dan melakukan kesilapan. Ampunilah dosa-dosa kami yang terdahulu dan terkemudian, yang disengajakan mahupun yang tidak disengajakan, yang kecil dan sedikit mahupun yang seluas lautan. Dan janganlah Kau jadikan dosa tersebut menjadi penyebab terhijabnya setiap permintaan.

 

Wahai Tuhan yang memperkenan permohonan hamba-Nya, pada hari dan saat yang penuh keberkatan ini, kami tunduk dengan insaf dan tawaduk, mengemis secebis rahmat-Mu Ya Rahman, bantulah saudara-saudara kami yang tertindas di setiap tempat, khususnya di Gaza dan Palestin. 

Ya Allah Ya Mannan, Kau ringankanlah bebanan mereka, lindungilah mereka dari ancaman kekerasan dan bahaya, sembuhkanlah yang sakit dan terluka, dan kurniakanlah rezekiMu bagi yang lapar dan dahaga.  

Ya Latiff Ya Hannan, dakapilah mereka dengan rahmat-Mu, tempatkan mereka dalam kasih sayang-Mu, teguhkan semangat mereka dengan keyakinan pada bantuan-Mu.  

Ya Allah Ya Dzal ‘Izzi was-Sultan, gantikan ketakutan mereka dengan keamanan, kesempitan dengan kelapangan, keresahan dengan ketenangan, dan kesedihan dengan kegembiraan.