collections khutbah Tadabbur: Teman sepanjang hayat
Tadabbur: Teman sepanjang hayat

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

19 Jun 2026 / 3 Muharram 1448H

Tadabbur: Teman Sepanjang Hayat

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita terus meningkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t. dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Teruskan juga berinteraksi dengan Al-Quran. Semoga ia terus menjadi petunjuk perjalanan kita menuju keredaan-Nya. Amin ya Rabbal ‘Alamin.

Sidang jemaah yang dikasihi Allah,

Siri Khutbah Tadabbur diteruskan pada minggu ini. Khutbah akan memperlihatkan bagaimana sepotong ayat Al-Quran yang sama menyampaikan mesej yang berbeza kepada pembaca, mengikut pengalaman, keadaan, serta fasa kehidupan mereka. Sebagai pencerahan, mungkin kita pernah membaca sepotong ayat Al-Quran yang sama berulang kali dari kecil hingga dewasa. Pendekatan tadabbur akan membuktikan bahawa pemahaman dan penghayatan kita berbeza sekiranya ia dibaca ketika kita berusia 10, 25, 40 malah 60 tahun. Mari bersama tumpukan perhatian pada tiga contoh ayat Al-Quran daripada tiga surah yang berbeza.

Ayuh kita mulakan dengan firman Allah s.w.t. dalam Surah An-Nisa’, ayat 28:

Yang bermaksud: “Dan manusia itu dijadikan bersifat lemah.”

Saudara sekalian, apakah jawapan anda sekiranya ditanya: “Apakah maksud ‘lemah’ dalam ayat ini?”

Bagi kanak-kanak dan remaja, kelemahan anda mungkin merujuk kepada kemampuan mengenal isi dunia yang penuh kerencaman. Di sini, anda memerlukan bimbingan dari golongan dewasa. Bagi golongan dewasa, hakikat kehidupan anda tidak sunyi dari bebanan pelbagai amanah. Kadangkala anda terasa amat ‘lemah’ ketika berdepan dengan cabaran harian. Manakala golongan yang lebih berusia pula mungkin mengaitkannya dengan kelemahan fizikal, keletihan emosi, serta kebergantungan kepada orang lain. Perhatikanlah, saudaraku, ayatnya tetap samanamun daripada satu ayat yang sama, lahir tadabbur yang berbeza.

Saudaraku yang dikasihi,

Kita beralih kepada contoh kedua menerusi ayat 5 hingga 6 dalam Surah Ash-Sharh:

Yang bermaksud: “Sesungguhnya bersama kesukaran itu ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesukaran itu ada kemudahan.”

Seseorang yang sedang berhadapan dengan kesukaran akan melihat ayat ini sebagai janji Allah yang menenangkan jiwa.

Contohnya, para pelajar berdepan dengan cabaran dan mungkin juga kesukaran dalam pembelajaran mereka dari awal tahun hingga bulan Mei. Hari ini, anda, wahai pelajar sekalian, dalam ketenangan sambil menikmati percutian dan masa rehat.

Bagi golongan dewasa pula, mungkin ada di antara anda yang berdepan dengan cabaran emosi, mental dan fizikal ketika menunaikan ibadah haji baru-baru ini. Hari ini, anda telah pun pulang ke pangkuan keluarga, dan merasakan kenikmatan pengalaman beribadah di Tanah Suci. Tidakkah ayat ini mencerminkan pengalaman tersebut?

Kesimpulannya, sekiranya anda menghadapi kesukaran hidup, tetapi yakin bahawa ketenangan dan mungkin juga jalan keluar menanti di penghujung jalan, nescaya anda akan semakin hampir dengan bantuan dan kegembiraan yang dijanjikan Tuhan.

Sidang jemaah yang dimuliakan,

Sebagaimana yang dijanjikan, inilah contoh ketiga dan yang terakhir, sepotong ayat yang sering diulang apabila berbicara tentang menyantuni ibu bapa. Allah s.w.t. berfirman dalam Surah Al-Isra’, ayat 24:

Yang bermaksud: “Dan rendahkanlah dirimu terhadap kedua-duanya dengan penuh kasih sayang, serta berdoalah: ‘Wahai Tuhanku, rahmatilah kedua mereka sebagaimana mereka telah mendidikku semasa kecil.’”

Saudara sekalian, ayat ini juga berbicara kepada kita mengikut peranan yang kita mainkan dalam kehidupan. Ketika kita masih bergelar anak, ayat ini dilihat sebagai perintah Allah untuk mentaati serta memenuhi tanggungjawab terhadap ibu bapa.

Dan apabila kita sendiri bergelar ibu dan bapa, ayat ini membawa satu lagi dimensi tadabbur, kerana kita diamanahkan untuk membesarkan anak-anak yang sedang meningkat remaja dan dewasa dengan sebaiknya. Kita mula memahami pengorbanan yang pernah dilakukan oleh ibu bapa satu masa dahulu. Kita menyedari betapa hebat kesukaran yang mereka tempuhi demi menjunjung amanah Allah, membesarkan dan mendidik generasi Muslim akan datang. Mungkin juga, kita mula merasakan kesedihan mereka, ekoran tutur kata, raut wajah dan kelakuan kita dahulu. Kesedaran ini menumbuhkan rasa syukur, keinsafan, penghargaan dan kasih sayang yang lebih mendalam terhadap kedua ibu bapa kita.

Apabila kita dewasa dan berpeluang menjaga kebajikan ibu bapa yang semakin lanjut usia, ayat ini menjadi peringatan agar terus bersabar dan istiqamah dalam berbakti kepada mereka. Tidak lupa, kita selalu memanjatkan doa kepada Allah agar memelihara mereka.

Sidang jemaah yang budiman,

Sekiranya kita terus bertadabbur dan berbicara dengan Al-Quran, nescaya dapat dirasakan kehebatan mukjizat yang dikurniakan kepada junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. Kerana ayat yang sama hadir dengan makna dan renungan yang baharu, bersesuaian dengan fasa kehidupan ini yang dipengaruhi faktor usia, emosi dan konteks atau suasana. Amat benarlah firman Allah di dalam Surah Sad, ayat 29:

Yang bermaksud: “(Al-Quran ini ialah) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu, penuh dengan keberkatan, supaya mereka memerhatikan ayat-ayatnya (tadabbur) dan supaya orang yang berakal mengambil peringatan.”

Oleh itu, marilah kita menjadikan tadabbur Al-Quran sebagai teman sepanjang hayat. Semoga hubungan yang berterusan dengan Al-Quran serta pendekatan tadabbur menjadi sebab kita memperoleh syafaat di hari akhirat kelak. Amin ya Rabbal ‘Alamin.

Khutbah Kedua