collections khutbah Tadabbur Sebaris – Ayat, Sejuta Bimbingan
Tadabbur Sebaris – Ayat, Sejuta Bimbingan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

5 Jun 2026 / 19 Zulhijjah 1447H

Tadabbur - Sebaris Ayat, Sejuta Bimbingan

Zumratal mukminin rahimakumullah,

Bertakwalah kepada Allah s.w.t. Laksanakan segala perintah-Nya serta jauhilah segala larangan-Nya. Semoga Allah s.w.t. mempermudahkan perjalanan kita menuju keredaan, pengampunan dan syurga-Nya. Amin, ya Rabbal 'Alamin.

Saudara yang dikasihi,

Khutbah Jumaat di sepanjang bulan ini ingin mengundang sekalian jemaah, muda dan dewasa, untuk mengenali Al-Quran menerusi pendekatan tadabbur. Khutbah memulakannya dengan mengajak kita bertanya pada diri sendiri dengan sejujurnya: Bilakah kali terakhir kita membaca ayat-ayat suci Al-Quran, dan merasakan seolah-olah ia sedang berbicara dengan nurani kita?

Mungkin ada yang tertanya-tanya: Apakah ini boleh berlaku? Bagaimana Al-Quran boleh berbicara dengan kita?

Jawapannya, saudaraku yang dikasihi, adalah dengan merenung setiap baris ayat yang dibaca, serta bertafakur:

Apakah kaitannya dengan diri kita, serta pengajaran yang boleh diterapkan dalam kehidupan seharian? Inilah erti tadabbur yang sebenar.

Hadirin yang dimuliakan,

Walaupun Al-Quran mengandungi lebih daripada 6,200 ayat, khutbah hari ini hanya akan mempersembahkan 3 ayat yang ringkas, tetapi cukup untuk menunjukkan keistimewaan pendekatan tadabbur yang sangat luar biasa.

Mari kita mulakan dengan wahyu pertama, iaitu ayat pertama Surah Al-'Alaq. Firman Allah s.w.t.:

Yang bermaksud: “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan.”

Saudaraku, sekiranya kita mengambil pendekatan terjemahan sahaja, besar kemungkinan kita hanya akan membawa pulang satu pengajaran dari ayat ini: bahawa Allah memerintahkan kita membaca bismillah sebelum membaca. Manakala, sekiranya kita mengambil pendekatan tadabbur, kita akan bertanya dengan lebih lanjut:

Mengapa perintah Allah yang pertama ini adalah 'bacalah' dan bukan 'sembahlah' atau ’sujudlah’? Kerana ia mengingatkan kita bahawa Islam terbina di atas dasar ilmu, dan ibadah yang sahih tidak mungkin dilakukan tanpa kefahaman yang sahih lagi kukuh.

Mengapa Allah memerintahkan seseorang yang tidak tahu membaca dan menulis untuk membaca? Kerana ia mengingatkan kita tentang keagungan Allah. Dia mampu mengangkat martabat seseorang yang pada asalnya tidak tahu membaca menjadi guru teragung yang pernah dikenali manusia.

Mengapa perintah membaca dikaitkan dengan nama Allah? Kerana ia mengingatkan kita bahawa setiap usaha mencari ilmu mestilah dimulai dengan bismillah, yakni dengan mengingati Allah. Ia mengingatkan kita bahawa semua bentuk ilmu datang dari Allah dan pencarian ilmu mestilah disertakan kesedaran serta keikhlasan kepada-Nya.

Mengapa Allah menyebut tentang penciptaan sejurus selepas memerintahkan kita untuk membaca? Kerana ia mengingatkan kita bahawa Allah mencipta segala sesuatu, termasuk ilmu pengetahuan.

Seterusnya, dalam ayat ke-2, Allah s.w.t. berfirman:

Yang bermaksud: "(Allah) menciptakan manusia daripada segumpal darah yang beku"

Mengapa Allah menyebut bahawa Dia menciptakan kita daripada 'alaq – segumpal darah yang beku?

Untuk memperlihatkan keagungan-Nya; bahawa daripada segumpal darah yang beku – tiada nilai padanya, lalu Allah membentuk kita menjadi makhluk yang memiliki keupayaan yang luar biasa. Dengan kuasa serta bimbingan-Nya, Allah telah memuliakan kita, mengurniakan akal serta memberi kita kehormatan sebagai insan.

Seterusnya, dalam ayat ke-3 pada surah yang sama, Allah s.w.t. berfirman:

Yang bermaksud: "Bacalah dan Tuhanmu Maha Pemurah"

Mengapa Allah mengulangi perintah-Nya 'bacalah' buat kali kedua? Pengulangan ini mengukuhkan lagi mesej Ilahi tentang kepentingan mencari ilmu. Dengan mengulangi perintahnya untuk membaca (yakni menuntut ilmu) dalam ayat-ayat pertama yang diturunkan, ini menggambarkan bahawa perintah Allah untuk membaca dan menjadi seorang yang berilmu merupakan asas keyakinan kita kepada-Nya. Ilmu adalah asas sebelum datangnya peribadatan sekaligus penghambaan kita kepada Tuhan yang Maha Esa.

Sidang jemaah sekalian,

Inilah contoh keberkesanan tadabbur. Tiga ayat yang ringkas, namun cukup menawarkan mutiara peringatan dan nasihat yang berbicara dengan nurani insan mukmin, dengan cara yang indah dan cukup mendalam. Inilah juga yang menjadi pemangkin seorang mukmin yang hatinya terpaut pada mukjizat Al-Quran.

Sebagai rumusan, cuba bayangkan empat pendekatan terhadap Al-Quran, iaitu Tilawah, Tahfiz, Tafsir dan Tadabbur dengan perumpamaan melihat bulan di waktu malam. Tilawah (bacaan) adalah ibarat melihat bulan dengan mata kasar. Kita memandangnya, menikmati keindahannya dan meluangkan masa untuk menghayatinya. Begitulah juga tilawah Al-Quran – kita membaca kalamullah untuk mendekatkan diri kepada-Nya.

Tahfiz (hafalan) pula ibarat seseorang yang amat mengenali bulan sehingga dia mampu mengingati bentuk dan rupanya tanpa perlu mendongak ke langit. Begitulah hafazan Al-Quran; ayat-ayat Allah tersimpan rapi dalam ingatan dan sentiasa dibawa bersama ke mana sahaja kita pergi.

Tafsir pula ibarat mempelajari bulan dengan lebih mendalam menerusi pakar rujuknya. Dengan ini, kita memahami mengapa bentuknya berubah-ubah, dan sebab berlakunya peredaran bulan. Begitulah tafsir; ia membantu kita memahami makna, latar belakang dan maksud ayat-ayat Al-Quran dengan lebih jelas.

Manakala tadabbur adalah memahami sesuatu melalui penelitian dan pemerhatian – ibarat seseorang yang berdiri di bawah sinaran purnama, lalu bertanya kepada dirinya: “Apakah yang Allah ingin aku pelajari daripada pandangan ini?” Lalu dia menyedari betapa kecilnya dirinya, betapa agungnya Allah, betapa pantas masa beredar, dan apakah tujuan hidupnya.

Inilah yang kita cuba hayati dalam mengupaskan tiga ayat pertama Surah Al-'Alaq tadi melalui pendekatan tadabbur.

Saudara yang dirahmati Allah,

Marilah kita dengan penuh keikhlasan dan rendah hati, berdoa kepada Allah s.w.t. agar diberikan peluang masa dan usia, serta dibukakan mata hati kita, supaya dapat mengecap keistimewaan tadabbur dan kesan baiknya dalam kehidupan kita. Amin, ya Rabbal 'Alamin.

Khutbah Kedua