

Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
30 Januari 2026 / 11 Syaaban 1447H
Solat – Kunci Kejayaan dan Ketenangan

Zumratal mukminin rahimakumullah,
Bertakwalah kepada Allah s.w.t. Jagalah hak Allah atas kita dengan menunaikan kewajipan dan menjauhi larangan-Nya. Semoga kita dikurniakan keberkatan dan kejayaan di dunia dan di akhirat. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.
Tuan-tuan yang dirahmati Allah sekalian,
Mengapa seorang Muslim dituntut melaksanakan solat 5 kali dalam sehari? Dengan mengambil kira masa ibadat yang diluangkan, tidakkah ia menghambat produktiviti?
Mungkin, ada sebahagian manusia yang pernah terdetik sedemikian. Dalam konteks masyarakat hari ini yang mengutamakan kecemerlangan dan kejayaan, masa yang kita miliki merupakan satu sumber yang bernilai. Namun, bagi seorang Muslim, solat tidak sepatutnya menjadi penghambat kecemerlangan. Sebaliknya, solat adalah penguat jiwa dan pemacu kecemerlangan peribadi serta seluruh kehidupan.
Apakah sandaran hujjah saya ini? Perhatikan petunjuk Allah s.w.t. pada ayat pertama dan kedua Surah Al-Mukminun:

Yang bermaksud: “Sesungguhnya, berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.”
Manakala Rasulullah s.a.w. pula bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya, amalan pertama yang akan dihitung ke atas seorang hamba pada Hari Kiamat adalah solatnya. Jika solatnya baik, maka dia akan berjaya dan selamat. Dan jika solatnya rosak, maka dia akan rugi dan menghadapi kegagalan.” (Riwayat al-Tirmizi)
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Benar sekali, solat adalah tiang agama. Namun, solat tidak wajar dijadikan sekadar rutin yang dilaksanakan bak melepaskan batuk di tangga, asalkan memenuhi kewajipan agama. Ketahuilah, solat adalah satu keutamaan yang membawa banyak manfaat bagi umat manusia.
Di sini, mimbar ingin berkongsi dua mesej utama berkaitan solat sebagai pedoman bersama:
Pertama: Solat adalah kunci kejayaan, bukan penghambatnya
Solat mengingatkan manusia bahawa kejayaan yang sebenar tidak dinilai dengan kayu ukur kehidupan material sahaja.
Benar, sebagai Muslim, kita dituntut agar mengurus kehidupan dunia. Mencari nafkah, menyara keluarga dan membina kehidupan yang selesa dan bermakna. Namun, dalam kehidupan, pasti kita akan menghadapi cabaran. Kesusahan adalah satu cabaran dan kesenangan juga adalah ujian. .
Di sinilah solat berperanan sebagai satu saluran langsung yang menghubungkan seorang hamba dengan Tuhannya. Dialah yang menjadi sandaran dalam setiap perkara. Ketika dibelenggu kesusahan, kita meminta pertolongan-Nya. Ketika dikurniakan kesenangan, kita tetap memohon bimbingan serta pemeliharaan-Nya menerusi solat kita.
Kedua: Solat melahirkan ketenangan dan ketenteraman jiwa
Saudara sekalian, banyak aktiviti harian kita terdorong dari tuntutan semasa. Seorang pelajar contohnya, gigih belajar kerana konteks memerlukan dirinya menjadi seorang yang berilmu dan kemudian dinilai menerusi peperiksaan. Lain halnya dengan solat, kerana solat adalah usaha yang didorong pilihan dan keyakinan kita sendiri, bukan desakan luaran dan ia dipersembahkan kepada Allah khusus untuk penilaian-Nya.
Di sini, tersirat satu jaminan buat diri kita bahawa Allah s.w.t. sentiasa melihat dan menghargai setiap usaha serta keadaan kita, walaupun manusia mungkin tidak melihatnya. Bagi seorang Muslim, solat melahirkan satu ketenangan yang sukar didapati dari sumber yang lain.
Sidang jemaah yang dirahmati Allah,
Barangkali, ketenangan inilah yang Rasulullah s.a.w. maksudkan apabila Baginda memerintahkan Sayyidina Bilal r.a.: “Wahai Bilal, laungkanlah iqamat; tenangkanlah kami dengannya (yakni solat).” (Riwayat Abu Daud)
Semoga Allah s.w.t. menjadikan kita hamba-hambaNya yang istiqamah dalam menjaga solat dan menerusinya, semoga Allah s.w.t. mengurniakan kita kejayaan di dunia dan di akhirat. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Khutbah Kedua

