collections khutbah Pendidik Hati: Didikan Nabawi
Pendidik Hati: Didikan Nabawi

Majlis Ugama Islam Singapura 

Khutbah Jumaat 

5 September 2025 / 12 Rabiulawal 1447H 

Pendidik Hati: Didikan Nabawi

Sidang Jumaat sekalian,

Bertakwalah kepada Allah s.w.t. Jalankan setiap perintah-Nya dan jauhi segala larangan-Nya. Sempena bulan memperingati Maulidurrasul, buktikanlah cinta kita kepada Rasulullah s.a.w. dengan menerapkan ajarannya dalam kehidupan kita. Moga Allah s.w.t. menjadi saksi atas cinta kita kepada Baginda. Amin, ya Rabbal ‘Alamin. 

 

Sidang hadirin yang dirahmati Allah, 

Benarkah kenyataan berikut – bahawa selain diutuskan sebagai Nabi dan rahmat buat sekalian alam, Rasulullah s.a.w. juga diutuskan sebagai seorang guru dan pendidik jiwa

Ya, kekasih kita Rasulullah s.a.w. diutuskan sebagai seorang guru dan pendidikjiwaDidikannya membimbing umat manusia daripada kegelapan menuju cahaya, daripada kesesatan hingga mengenali Tuhan yang Maha Esa. 

Inilah yang digambarkan melalui firman Allah dalam Surah AlJumu’ah, ayat ke-2: 

Yang bermaksud: “Dialah yang mengutuskan kepada kaum yang buta huruf seorang utusan di kalangan mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, menyucikan mereka, dan mengajarkan kepada mereka Al-Kitab (Al-Quran) dan hikmah. Dan sesungguhnya, sebelum itu, mereka benarbenar dalam kesesatan yang nyata.” 

 

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,  

Ayat ini jelas menampilkan peranan utama Rasulullah s.a.w. sebagai seorang pendidik yang memperkasa umatnya. Malah, apabila menelusuri kehidupan mulia Rasulullah s.a.w., kita dapati bahawa Baginda s.a.w. bukan sekadar berdakwah menyampaikan ajaran Islam. Menerusi keperibadiannya yang tinggi, Rasulullah s.a.w. berjaya menyentuh hati dan meninggalkan kesan mendalam pada setiap insan yang bertemu dengannya. 

Sebagai contoh, seorang sahabat bernama Anas ibn Malik r.a. hanya berusia sekitar 10 tahun apabila bertemu dengan Nabi Muhammad s.a.w. Sayyidina Anas r.a. kemudian berkhidmat kepada Rasulullah s.a.w. sepanjang 10 tahun lagi. Pada usia muda remaja, beliau berpeluang mendampingi dan mendapatkan bimbingan langsung daripada Baginda s.a.w.  

Apakah gambaran Sayyidina Anas terhadap Rasulullah s.a.w.? Beliau berkata: “Aku tidak pernah melihat sesiapa yang bersifat penyayang terhadap anak-anak lebih daripada Rasulullah s.a.w.” (Riwayat Muslim) 

 

Sidang hadirin yang dikasihi Allah,  

Apakah antara sifat mulia Rasulullah s.a.w. yang menjadikannya seorang pendidik yang berkesan menyentuh jiwa

Pertama: Mendidik dengan ihsan dan kasih sayang 

Rasulullah s.a.w. memahami bahawa didikan yang berkesan memerlukan tadahan hati yang terbuka. Oleh itu, pendekatan Baginda sentiasa sarat dengan sifat ihsan dan kasih sayang.  

Contohnya, seorang lelaki pernah bertemu Rasulullah s.a.w, lalu meminta izin untuk berzina. Namun, bagaimanakah reaksi Rasulullah s.a.w. terhadap pertanyaan itu? Adakah Baginda terus mengangkat suara, memarahi dan memalukan lelaki itu di khalayak ramai? Tidak sama sekali.  

Sebaliknya, Rasulullah s.a.w. mendidiknya dengan tenang dan memberikan penjelasan dengan baik. Baginda s.a.w. memberikan contoh dan jawapan yang mudah dihayati lelaki itu sendiri. Kemudian, Rasulullah s.a.w. meletakkan tangannya pada dada lelaki tersebut, lalu menitipkan serangkap doa untuk beliau. Ini semua berlaku dalam suasana yang tenang dan selamat, serta sarat dengan empati dan belas ihsan

Kedua: Memahami dan menyesuaikan diri dengan mereka yang di bawah bimbingannya 

Rasulullah s.a.w. sentiasa memastikan ucapannya sesuai dengan profil pendengarnya. Walaupun Baginda s.a.w. merupakan seorang Nabi dan ketua masyarakat, memikul tanggungjawab yang besar dan menyandang kedudukan yang tinggi, Rasulullah s.a.w. tidak pernah gagal menyesuaikan diri apabila berbicara, walau dengan anak kecil sekalipun. 

Sebagai contoh, Rasulullah s.a.w. mengenali seorang anak kecil bergelar Abu Umair yang memiliki haiwan peliharaan seekor burung. Apabila bertemu dengannya, Rasulullah s.a.w. seringkali bertanya kepada Abu Umair berkenaan burung kesayangannya itu. Walaupun banyak lagi perkara penting yang Rasulullah s.a.w. perlu uruskan, Baginda tidak sesekali menganggap interaksi dengan anak kecil, atau sesiapa sahaja, sebagai satu perkara yang remeh. 

 

Sidang jemaah yang dikasihi Allah,  

Natijah daripada didikan Rasulullah s.a.w. ini, Baginda berjaya membentuk jati diri para sahabat – satu generasi yang ramai terdiri daripada golongan pemuda. Berbekalkan sikap ihsan dan pendekatan yang sesuai, Baginda s.a.w. bukan sekadar mengajar dan menyampaikan, namun berjaya menyentuh hati dan menghamparkan landasan bagi kelestarian umat sepanjang zaman. 

Semoga Allah s.w.t. menetapkan kita semua di atas Hadyun Nabiy - jalan yang dipelopori Rasulullah s.a.w. ini, agar dapat kita bersua dengan kekasih tercinta pada suatu hari nanti. Semoga Allah s.w.t. membalas setiap guru, pendidik, pembimbing yang pernah menyentuh hati kita dan menaburkan jasa, dengan sebaik-baik balasan dan pahala. Amin, ya Rabbal ‘Alamin. 

         

Khutbah Kedua

Sidang jemaah yang dikasihi Allah,  

Pada awal pagi hari Isnin akan datang, bersamaan 8 September, kita akan menyaksikan fenomena gerhana bulan, yang akan kelihatan bermula pada jam 12:27 pagi sehingga 3:56 pagi. Sebagai Muslim, kita menganggap gerhana sebagai satu tanda kebesaran Allah. Kita digalakkan mendirikan solat sunnat gerhana bulan, sama ada bersendirian atau berjemaah, di rumah mahupun di masjid, dan memperbanyakkan doa apabila ia berlaku, sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w. dalam hadith riwayat Muslim: “Dan sekiranya kamu melihatnya (yakni gerhana), maka solatlah dan berdoalah.” 

Oleh itu, jangan lepaskan kesempatan ini untuk menghidupkan sunnah Rasulullah s.a.w. Laksanakanlah solat sunat gerhana bagi yang berkelapangan, atau sekurang-kurangnya, perbanyakkanlah doa dan ibadah kita. Moga Allah s.w.t. menerima dan memberkati setiap amalan kita. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.