collections khutbah Sikap Pemurah Pemangkin Keberkatan
Sikap Pemurah Pemangkin Keberkatan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat  

18 April 2025 / 19 Syawal 1446H

Sikap Pemurah Pemangkin Keberkatan

Zumratal Mukminin Rahimakumullah,

Semaikanlah takwa dan keimanan, yang membimbing kita ke arah kebaikan. Marilah kita tetap istiqamah dalam mentaati segala perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya. Ya Allah, jadikanlah kami antara hamba-Mu yang bersifat pemurah, yang Engkau limpahi kurnia-Mu yang tak terhingga di dunia dan akhirat. Amin, ya Rabbal ‘Alamin. 

 

Saudaraku yang dikasihi,

Bulan Syawal sememangnya merupakan bulan kemurahan hati. Mengapakah demikian? Dalam bulan Syawal ini, kita berkongsi rezeki yang dikurniakan Allah s.w.t. bersama mereka yang kita kasihi dan juga yang memerlukan, di samping kita sendiri turut merasakan sifat murah hati orang lain. Kita menjamu para tetamu dengan hidangan makanan dan minuman, serta memberi duit raya sebagai hadiah kepada anakanak kecil. Kebiasaan ini memupuk kekukuhan hubungan dan kasih sayang sesama kita. Marilah kita terus menghayati dan menerapkan nilai-nilai mulia ini, bukan sekadar dalam bulan Syawal, tetapi sepanjang kehidupan kita. 

 

Sidang jemaah yang dikasihi,

Khutbah hari ini menyentuh tentang kemurahan hati atau sikap pemurahKemurahan hati lahir daripada rasa ihsan, dan merupakan satu sifat yang penting untuk kita zahirkan. Ia merupakan kunci kepada pintu barakah, yakni keberkatan di dunia dan jua di akhirat. Barakah ini dapat dilihat dalam apa sahaja bentuk kebaikan dalam setiap urusan kita – sama ada pada usia, harta, keluarga, kesihatan dan sebagainya. 

Perkara yang sedikit tetapi diberkati boleh membawa kebaikan yang lebih besar, berbanding kekayaan yang hilang keberkatannya. Sesungguhnya, antara jalan paling mudah untuk mengundang barakah ke dalam hidup kita adalah dengan sikap bermurah hati, dan saling memberi dengan penuh ikhlas dan kasih sayang. 

Pada kesempatan ini, mimbar ingin berkongsi tiga cara bagaimana sikap murah hati boleh membuka pintu barakah

 

Pertama: Allah s.w.t menjanjikan ganjaran yang berganda kepada orang yang pemurah.

Allah s.w.t berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 261: 

 

Yang bermaksud: "Perumpamaan orang yang membelanjakan hartanya di jalan Allah adalah seperti sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai; pada tiap-tiap tangkai itu terdapat seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui."

Allah s.w.t juga berfirman melalui lidah Nabi s.a.w dalam sebuah hadith qudsi: "Wahai anak Adam, berbelanjalah (di jalan-Ku), nescaya Aku akan berbelanja ke atasmu." (Riwayat Muslim) 

Subhanallah, ayat tadi dan hadith ini mengingatkan kita bahawa kemurahan hati tidak sesekali akan menyebabkan kerugian. Sebaliknya, ia mendatangkan keberkatan. Meskipun bermurah hati itu bukanlah jaminan menerima ganjaran berupa harta benda yang melimpah, Allah s.w.t boleh menggandakan ganjaran dalam pelbagai bentuk barakah: melalui ketenangan jiwa, kesihatan yang baik, hubungan kekeluargaan yang kukuh, atau diberikan kemudahan dalam urusan hidup. Ini semua adalah tanda keberkatan, dan ia sering hadir dalam bentuk yang tidak kita jangka – melepasi batasan wang ringgit. Inilah gambaran sebenar erti barakah.

 

Kedua: Para malaikat mendoakan orang yang pemurah.

Sidang jemaah yang dikasihi,

Bukan sahaja Allah menjanjikan ganjaran yang besar, bahkan, para malaikat-Nya turut mendoakan orang yang membelanjakan hartanya di jalan Allah. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: "Setiap pagi, dua malaikat turun. Salah satunya berkata: 'Ya Allah, gantilah (rezeki) bagi orang yang berbelanja (di jalan-Mu)', dan yang satu lagi berkata: 'Ya Allah, binasakanlah orang yang menahan hartanya, yakni kedekut'." (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim) 

Bayangkan, makhluk paling suci yang sentiasa berada di sisi Allah s.w.t., mendoakan kita, memohon kepada Allah s.w.t agar memberkati kita dengan rezeki dan barakah. Sebagai orang Islam, kita yakin akan kewujudan para malaikat yang menjadi salah satu rukun iman. Doa mereka amatlah bermakna bagi kita. Subhanallah, betapa besar kesan doa mereka dalam hidup kita, dan betapa baiknya kemuliaan dan keberkatan ini. 

 

Ketiga: Kemurahan hati mengundang rahmat Allah.

Saudara-saudaraku yang dikasihi, 

Kemurahan hati merupakan salah satu jalan untuk meraih rahmat Allah s.w.t. Dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 133–134, Allah s.w.t. menggambarkan ciri-ciri orang yang layak mendapat syurga-Nya. Firman-Nya yang bermaksud: 

"Dan bersegeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhanmu dan syurga yang seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa – iaitu orang-orang yang menginfakkan (hartanya) pada waktu senang mahupun susah..."

Ayat ini menyedarkan kita bahawa salah satu ciri orang bertakwa ialah kemurahan hati, yang tetap memberi walau dalam kesenangan atau kesempitan. Ia adalah sifat yang sangat disukai Allah s.w.t sehingga dikaitkan dengan penghuni syurga. Dan syurga itulah manifestasi tertinggi rahmat Allah. 

Subhanallah, begitu hebatnya sifat pemurah yang membuka pintu barakah dalam kehidupan. Namun, lebih daripada sekadar mengharapkan keberkatan, kita seharusnya menjadikan kemurahan hati kita sebagai satu bentuk penghambaan, yang lahir semata-mata kerana ingin meraih keredaan dan rahmat Allah s.w.t.

 

Kesimpulannya, apabila kita memberi, kita bukan hanya mengharap balasan, namun ia lahir daripada kesedaran bahawa kita ini hanyalah hamba Allah, yang sentiasa memerlukan kasih sayang dan rahmat-Nya. Apabila kita memberi dengan ikhlas, sebagai tanda ketaatan dan pengabdian kepada Allah – inilah erti kemurahan hati yang sebenar. 

 

Zumratal Mukminin rahimakumullah,  

Setelah bersama memahami keutamaan sifat pemurah ini, marilah kita berazam untuk menjadi hamba Allah yang pemurah, yang memberi dengan penuh ikhlas dan kasih sayang kerana Allah. Semoga kita dikurniakan doa para malaikat, ganjaran yang berganda daripada Allah, serta rahmat Allah yang tidak bertepi. Amin ya Rabbal ‘Alamin. 

KHUTBAH KEDUA