collections khutbah Muhasabah Hari Arafah
Muhasabah Hari Arafah

  

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat 

6 Jun 2025 / 9 Zulhijjah 1446H 

Muhasabah Hari Arafah

Sidang jemaah yang dirahmati Allah, 

Bertakwalah kepada Allah s.w.t. dengan sebenar-benar takwa. Taati segala perintah-Nya, dan jauhi segala tegahan-Nya. Muhasabahlah keadaan iman dan hati kita, serta hubungan kita bersama-Nya. Moga renungan ini menjentik kesedaran kita sebagai hamba yang bergantung kepada rahmat Allah dan mengharapkan keredaan-Nya. Amin, ya Rabbal ‘Alamin. 

 

Sidang jemaah yang dirahmati Allah, 

Hari ini merupakan hari kesembilan Zulhijjah bagi kita di 

Singapura. Tarikh ini dikenali juga sebagai hari Arafah. Bagi yang belum mengenalinya, Arafah adalah sebidang dataran di luar kota Makkah, tempat di mana umat Islam yang melaksanakan haji berkumpul. Inilah perhimpunan yang dianggap sebagai kemuncak ibadah Haji – malah begitu penting sehingga Haji seseorang tidak sah tanpanya, sejajar dengan sabda Rasulullah s.a.w.:  

Yang bermaksud: “Haji itu adalah Arafah.” (Riwayat At-Tirmizi) 

Seterusnya, setelah bersama mengetahui perihal Arafah dan hari Arafah, apakah pula kepentingan hari Arafah ini bagi kita umat Nabi Muhammad s.a.w.?  

Menurut satu riwayat daripada Abi Hurairah r.a., Allah telah bersumpah dengan hari ini, yakni hari Arafah, melalui firmanNya dalam Surah Al-Buruj, ayat ke-3: 

Yang bermaksud: “Demi yang menyaksikan dan yang disaksikan.”  

Dalam riwayat Imam At-Tirmizi itu, Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa hari yang menyaksikan (syāhid) pada ayat ini merujuk kepada hari Jumaat, manakala hari yang disaksikan (masyhūd) merujuk kepada hari Arafah

Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: " Tidak ada satu hari yang lebih banyak dibebaskan hamba-Nya daripada api neraka melainkan pada hari Arafah." (Riwayat Muslim)  

Sesungguhnya, dua hadith yang baru dibacakan tadi sudah cukup menggambarkan keistimewaan hari Arafah

 

Zumratal Mukminin rahimakumullah, 

Pada kesempatan ini, mimbar ingin mengajak kita bermuhasabah dan merenungkan dua perkara utama yang berkait rapat dengan hari Arafah

Yang pertama: Perhimpunan manusia di padang Arafah bagi melaksanakan rukun ibadah haji. 

Wukuf di Arafah merupakan kemuncak dan intipati ibadah haji. Dari pelbagai pelosok dunia, umat Islam berkumpul di Arafah, menyahut panggilan Allah. Mereka memanjatkan doa dan memohon agar doa mereka dikabulkan. Mereka berusaha melakukan ketaatan semampunya, tidak mahu kehilangan masa walau sesaat pun, untuk mengemis rahmat dan keampunan Allah dengan penuh pengharapan. Kemudian apabila selesai manasik haji, lautan manusia itu akan bersurai dan kembali ke negera dan rumah masing-masing. 

Bandingkan pula halnya dengan perhimpunan pada Hari Kebangkitan nanti. Kita semua akan dihidupkan kembali dan berdiri di hadapan Allah di padang Mahsyar. Kita berdiri di tengah-tengah lautan manusia, tidak sempat untuk memperdulikan hal ahli keluarga lain, kita meletakkan harapan agar dikurniakan syafaat Nabi Muhammad s.a.w. dan diselamatkan dengan segera. Kenapa tuan-tuan? 

Kerana manusia diselubungi rasa resah gelisah, kerana kali ini, tiada lagi peluang untuk beramal dan berusaha. Tiada gunanya  lagi keluarga mahupun harta. Sesuai dengan firman Allah: 

 

Yang bermaksud: "Pada hari (hari penghitungan) ketika harta dan anak-anak tidak memberikan apa-apa manfaat, kecuali (orang-orang) yang menghadap Allah dengan hati yang bersih." (Asy-Syu'ara': 88-89) 

Ketika itu, manusia hanya mampu menantikan kesudahan yang bersesuaian dengan amalan yang dilakukan sewaktu hidup mereka dahulu di atas muka bumi. Dan apabila bersurai, destinasi manusia hanya satu antara dua – kediaman yang bahagia untuk selamanya yakni syurga, atau tempat sengsara selama-lamanya, yakni neraka. Wal ‘iyadhu billah. 

Yang kedua: Pesanan Rasulullah dalam khutbah wada’ yang menekankan penjagaan kebajikan manusia. 

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, 

Rasulullah s.a.w. merupakan sebaik-baik pembimbing rohani. Kita menyaksikan bahawa Baginda s.a.w. telah menyampaikan amanah-Nya, dan mendidik kita supaya menjadi hamba Allah yang lebih baik. Dalam pada itu, mesej yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. tidak terhad kepada soal ibadah sahaja. 

Renungilah pesanan-pesanan baginda dalam khutbah wada’ atau khutbah perpisahan yang disampaikan di Arafah. Ia mendeklarasikan prinsip-prinsip kebajikan dan hubungan sesama manusia. Tentang kehormatan darah dan harta, menegakkan keadilan dan menolak kezaliman, melaksanakan amanah, menjaga hak pasangan dan berlaku baik terhadap mereka, melarang melakukan kekerasan dan mencetus perpecahan di kalangan manusia, serta menekankan kesamarataan manusia di sisi Sang Pencipta. 

 

Jemaah yang dikasihi sekalian,  

Sesungguhnya dengan sekadar mendengar dan merenungkan dua perkara ini – yakni berkaitan perhimpunan hari perhitungan dan menjaga kebajikan manusia – adalah tidak mencukupi sekiranya kita tidak mengambil langkah dan menterjemahkannya kepada perbuatan kita.  

Persiapkanlah diri kita untuk hari di mana baik dan buruk amalan kita akan diperhitung oleh Allah, di mana saat itu tiada lagi peluang untuk kita beramal. Pada masa yang sama, pastikan juga kita menuruti pesanan Rasulullah s.a.w. dalam interaksi kita sesama manusia. Bersamalah kita, saling ingat-mengingatkan dan mencorak kehidupan kita dengan berpandukan bimbingan Ilahi dan Sunnah Nabi s.a.w. 

Akhir sekali, renungkanlah doa iftitah yang biasa kita ikrarkan pada setiap solat:

Sesungguhnya solatku, ibadahku, kehidupanku, serta kematianku – kesemuanya hanya demi Allah, Tuhan sekalian alam.” Semoga kita tidak sekadar melafazkan semuanya itu hanya di lidah, tetapi benar-benar menjadikan Allah sebagai tujuan kita dalam setiap perkara.

         

 

KHUTBAH KEDUA

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, 

Marilah kita menadah tangan ke hadrat Illahi. Dengan hati yang penuh telus. Dengan penuh pengharapan. Agar Allah menerima doa ini. Rintihan daripada seorang hamba yang serba kekurangan. Kepada Tuhan yang Maha Perkasa, yang Maha Mendengar. Doa kita khususnya untuk saudara kita yang terus dihimpit penderitaan dan sengsara di Gaza. Di saat bantuan daripada umat manusia terputus, ayuhlah kita sebagai ‘ibadullah, menghadap Tuhan semesta alam, Tuhan yang lebih berkuasa daripada setiap penguasa, yang lebih perkasa daripada setiap tentera, untuk terus melimpahkan bantuannya kepada mereka.  

Ya Allah, Tuhan yang Maha mendengar suara hati hamba-Nya, kurniakanlah kami pengampunan, sesungguhnya kami adalah hamba-hamba-Mu yang sering alpa dan melakukan kesilapan. Ampunilah dosa-dosa kami yang terdahulu dan terkemudian, yang disengajakan mahupun yang tidak disengajakan, yang kecil dan sedikit mahupun yang seluas lautan. Dan janganlah Kau jadikan dosa tersebut menjadi penyebab terhijabnya setiap permintaan. 

Wahai Tuhan yang memperkenan permohonan hamba-Nya, pada hari dan saat yang penuh keberkatan ini, kami tunduk dengan insaf dan tawaduk, mengemis secebis rahmat-Mu Ya Rahman, bantulah saudara-saudara kami yang tertindas di setiap tempat, khususnya di Gaza dan Palestin. 

Ya Allah Ya Mannan, Kau ringankanlah bebanan mereka, lindungilah mereka dari ancaman kekerasan dan bahaya, sembuhkanlah yang sakit dan terluka, dan kurniakanlah rezekiMu bagi yang lapar dan dahaga.  

Ya Latiff Ya Hannan, dakapilah mereka dengan rahmat-Mu, tempatkan mereka dalam kasih sayang-Mu, teguhkan semangat mereka dengan keyakinan pada bantuan-Mu.

Ya Allah Ya Dzal ‘Izzi was-Sultan, gantikan ketakutan mereka dengan keamanan, kesempitan dengan kelapangan, keresahan dengan ketenangan, dan kesedihan dengan kegembiraan.