collections khutbah Mengimbangi Identiti Kebudayaan dan Keutuhan Agama
Mengimbangi Identiti Kebudayaan dan Keutuhan Agama


Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat 

11 April 2025 / 12 Syawal 1446H

Mengimbangi Identiti Kebudayaan dan Keutuhan Agama

Marilah kita menyemai takwa dengan terus istiqamah melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t., menjalankan segala perintah-Nya dengan ikhlas, dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita sentiasa berusaha meniti jalan kebenaran dan mencari keredaan-Nya dalam setiap perbuatan kita. Amin ya Rabbal ‘Alamin.

Saudaraku,

Bulan Syawal telah menyatukan kita dalam kegembiraan, diserikan dengan amalan tradisi dan budaya kita. Di samping itu, kita terus menjaga perkembangan dan kesedaran rohani yang kita pupuk sepanjang Ramadan. Warisan budaya memperkaya identiti kita. Dengan mengimbangi tradisi ini secara sedar dan menyelaraskannya dengan prinsip Islam, kita memperkukuh hubungan kekeluargaan serta keimanan kita.

Allah s.w.t. berfirman dalam Surah An-Nahl, ayat 89:

 

Yang bermaksud: "Dan Kami telah menurunkan kepadamu sebuah kitab (Al-Quran) sebagai penjelasan bagi segala sesuatu, serta petunjuk, rahmat dan khabar gembira bagi orangorang Islam."

Ayat ini mengingatkan kita bahawa Islam adalah cahaya petunjuk dalam kehidupan, membimbing kita untuk mengenal apa yang dibolehkan dan yang sebaliknya. Panduan Al-Quran merangkumi soal amalan budaya kita, ia memandu kita membentuk identiti yang berlandaskan prinsip Islam di samping mengimbangi warisan budaya dan keutuhan agama.

Saudara-saudaraku yang dikasihi,

Islam menekankan keseimbangan dan kesederhanaan dalam amalan kebudayaan. Dalam sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Rasulullah s.a.w. memberi amaran bahawa mereka yang berlebihan dan melampau dalam pengamalan agamanya akan binasa disebabkan perbuatan mereka sendiri.

Sabdanya:

 

Yang bermaksud: "Binasalah orang-orang yang berlebihan (melampau)." Baginda mengulangi perkara ini sebanyak tiga kali, bagi menegaskan bahaya pelampauan dalam beragama

Pendekatan yang seimbang bermaksud kita tidak membiarkan amalan budaya mengatasi kewajipan agama. Dalam masa yang sama, kita juga tidak mengamalkan tafsiran agama yang terlalu sempit sehingga terburu-buru mengharamkan sesuatu budaya yang sebenarnya dibenarkan.

Islam menerima amalan budaya yang selari dengan nilai agama. Tradisi rumah terbuka, pemberian hadiah (duit raya), dan kunjungan Aidilfitri adalah contoh amalan budaya yang mencerminkan nilai-nilai Islam seperti kasih sayang, rahmat, dan keunggulan akhlak.

Namun, dalam meraikan Syawal, kita harus berhati-hati agar tidak melakukan sesuatu yang bercanggah dengan ajaran Islam, sama ada secara sedar atau pun tidak. Ini termasuk perbelanjaan yang berlebihan, leka beraya sehingga waktu solat terganggu, percampuran bebas antara lelaki dan wanita, atau bergaya dengan pakaian yang kurang sopan. Perbuatan ini boleh menjauhkan kita daripada nilai dan semangat sebenar perayaan di dalam Islam. Ingatlah saudaraku, sambutan Hari Raya atau Eidilfitri adalah merayakan hari kebesaran Islam, maka selayaknya tindak-tanduk kita menzahirkan erti sebenar perayaan ini.

Ma’asyiral Mukminin rahimakumullah,

Kita bertanggungjawab memastikan bahawa amalan budaya kita selari dengan ajaran Islam. Kita diamanahkan untuk menjaga keaslian dan keutuhan ajaran agama kita. Dalam dunia yang semakin terbuka, di mana kepalsuan sering diperlihatkan sebagai budaya dan ajaran agama, kita perlu lebih peka terhadap fahaman-fahaman yang tidak tepat yang boleh mencabar keutuhan agama kita.

Allah s.w.t. memberi amaran dalam Surah Luqman, ayat 6:

 

Yang bermaksud: "Dan ada antara manusia yang menggunakan percakapan yang melalaikan untuk menyesatkan (orang lain) dari jalan Allah tanpa ilmu dan menjadikannya sebagai ejekan. Mereka itu akan mendapat azab yang menghinakan."

Ayat ini mengingatkan kita tentang kewujudan segelintir manusia yang menggunakan pertuturan (yang cukup meyakinkan) untuk menyesatkan dan memesongkan masyarakat.

Menyedari hal ini, Islam mengajak kita untuk kembali kepada fitrah – yakni naluri semula jadi yang mendorong kita untuk berfikir, bertanya, dan merenung dengan lebih mendalam. Dengan ini, kita perlu melakukan tiga perkara penting:

Pertama: Berhati-hati dan memastikan amalan budaya selari dengan ajaran agama. 

Marilah kita menilai amalan budaya dengan teliti berdasarkan prinsip Islam. Walaupun budaya memperkayakan identiti kita, ia harus sentiasa selari dan seiring dengan ajaran Islam. Sekiranya ianya bercanggah atau mempunyai elemen-elemen syubhah yang bertentangan dengan prinsip Islam, maka budaya tersebut tertolak dan tidak boleh diamalkan sama sekali.

Kedua: Bersikap teliti dalam beragama dengan mengesahkan sumber maklumat.

Apabila berdepan dengan amalan atau ajaran agama yang baru atau asing, kita perlu mengesahkan kesahihannya dengan merujuk kepada asatizah yang bertauliah. Tindakan ini dapat memastikan pengamalan beragama kita sentiasa berlandaskan nilai dan ajaran Islam yang sebenar.

Ketiga: Mengasah pemikiran kritis.

Pemikiran kritis meningkatkan keupayaan kita untuk menilai amalan budaya dengan ilmu dan kebijaksanaan. Ini membantu kita mengenal pasti unsur yang bercanggah dengan ajaran agama, atau sekurang-kurangnya menanamkan sikap berhatihati, agar kita tidak mengikutinya secara membuta tuli. Pemikiran kritis ini sejajar dengan seruan al-Quran yang menganjurkan dan mencabar manusia agar sentiasa merenung, berfikir dan beringat. Ini boleh kita dapati dalam banyak ungkapan seperti firman Allah: 

 

Dan sebagainya.

Saudara-saudaraku yang dikasihi,

Dengan menghayati dan mengamalkan tiga perkara yang disebutkan tadi, in sya Allah, kehidupan dan identiti kita sebagai seorang Muslim akan lebih terpandu. Ketika kita meraikan Syawal, marilah kita mengamalkan budaya yang selari dengan ajaran Islam, sambil meninggalkan amalan yang tidak membawa manfaat dan bercanggah dengan keimanan kita. Sebagai sebuah masyarakat, marilah kita bersama-sama menegakkan identiti budaya dan meneguhkan integriti agama kita, tanpa mengorbankan walaupun salah satu daripadanya.

KHUTBAH KEDUA

Ya Allah, kurniakanlah bagi kami pada hari ini doa yang tidak tertolak. Bukakanlah bagi kami pintu syurga-Mu yang tidak akan tertutup. Himpunkanlah kami dalam golongan umat Nabi Muhammad s.a.w. Tanamkanlah dalam hati kami rasa cinta terhadap ciptaan-Mu yang paling sempurna. Hilangkanlah dahaga kami dari telaga Nabi-Mu, naungilah kami dalam syurgaMu, dan lindungilah kami dalam rahmat-Mu. Kurniakanlah hasrat kami, cukupkanlah kami dengan limpah kurnia-Mu, bimbinglah kami ke arah ketaatan-Mu. Peliharalah kami dari azab neraka, dan lindungilah kami dari kejahatan setiap mereka yang hasad dan dengki.

Ya Allah, Engkaulah tempat mengadu bagi setiap keluhan. Engkaulah yang Maha Mendengar setiap rintihan. Engkaulah pembela orang-orang yang dizalimi. Engkaulah yang bersikap penyayang terhadap orang yang lemah dan berkesempitan. Dengan rahmat-Mu bantulah saudara-saudara kami yang tertindas di setiap tempat, khususnya di Gaza dan Palestin,  wahai Tuhan yang Maha Penyayang.

Ya Allah, sembuhkanlah yang terluka, sihatkanlah yang sakit, kenyangkanlah yang lapar, hilangkan dahaga mereka, dan hangatkan mereka yang di dalam kedinginan. Ya Allah, jika mereka tidak beralas kaki, maka Engkau dukunglah mereka. Jika mereka kehilangan pakaian, maka Engkau tutupilah tubuh mereka. Wahai Tuhan Pelindung insan yang teraniaya, dan Pendukung hamba yang memerlukan, sesungguhnya mereka dizalimi, maka Engkau berikanlah bantuan.

Ya Allah, selimutkanlah mereka dengan rahmat-Mu, tempatkan mereka dalam kasih sayang-Mu, kuatkan mereka dengan kekuatan-Mu, dan teguhkanlah langkah mereka dengan kemuliaan-Mu. Ya Allah, lindungilah mereka daripada setiap penguasa yang zalim dan angkuh, serta jauhkanlah mereka daripada setiap penindas hamba-hamba-Mu. Gantikan ketakutan mereka dengan keamanan. Gantikan keresahan mereka dengan ketenangan. Gantikan kesempitan mereka dengan kelapangan, dan gantikan kesedihan mereka dengan kegembiraan.

Ya Allah Ya Tuhan kami, kurniakanlah kami kebaikan di dunia. Kurniakanlah bagi kami juga kebaikan di akhirat, serta lindungilah kami semua dari azab api neraka.