collections khutbah Memelihara keutuhan kehidupan beragama
Memelihara keutuhan kehidupan beragama

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

24 Julai 2026 / 9 Safar 1448H

Memelihara Keutuhan Kehidupan Beragama

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah s.w.t. dengan penuh keinsafan dan kesedaran. Laksanakan segala perintah-Nya dan tinggalkan segala larangan-Nya. Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kita petunjuk dan hikmah untuk terus kekal di atas jalan yang lurus. Amin, ya Rabbal 'Alamin.

Saudara sekalian,

Islam amat menitikberatkan keutuhan kehidupan beragama. Ini merujuk kepada sikap berhati-hati dan bijaksana dalam menilai ilmu agama. Menerusi ilmu agama, kita memahami perintah, larangan dan petunjuk Allah, hingga akhirnya membentuk jati diri kehidupan beragama.

Perlu difahami bahawa ilmu yang tidak diketahui kesahihannya dan disebarkan atas nama agama adalah amat berbahaya. Ini boleh berlaku dalam beberapa keadaan. Contohnya, menafsir ayat-ayat Al-Quran dengan sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira konteks ayat tersebut. Atau, beramal dengan satu amalan atau meletakkan kepercayaan yang didasari oleh hadis palsu. Semua ini boleh membentuk kepercayaan yang kemudian menjadi amalan. Akhirnya, ia menjadi rujukan bagi orang di sekeliling kita. Malangnya, amalan dan kepercayaan ini tidak diterima di sisi Islam.

Menyedari bahaya ini yang semakin menular dalam kehidupan kita, sama ada dalam dunia nyata mahupun dalam talian, luar negara atau tempatan, khutbah ingin berkongsi tiga panduan bagi membantu kita memelihara keutuhan kehidupan beragama:

Pertama: Berhati-hati dalam memilih sumber ilmu agama

Saudaraku, apabila kita memerlukan nasihat perubatan, kita berjumpa doktor. Apabila kita memerlukan nasihat undang-undang, kita berjumpa peguam. Dalam berjumpa dengan mana-mana doktor dan peguam, kita mahu mencari yang terbaik.

Pendekatan yang sama perlu diambil apabila melibatkan nasihat agama, iaitu perkara yang menentukan kedudukan kita di sisi Allah di dunia dan di akhirat.

Imam Ibn Sirin pernah berpesan: “Sesungguhnya ilmu ini adalah agama, maka perhatikanlah dengan teliti daripada siapa kamu mengambil agamamu.”

Inilah pesanan yang mengingatkan kita agar meneliti sumber ilmu agama yang diperolehi. Ini bererti, tasawwur atau kefahaman Islam kita perlu dibentuk oleh guru yang bertauliah, mempunyai kredibiliti yang baik serta tawaduk dan beramal sesuai ajaran dan dakwahnya.

Kedua: Mengesahkan kandungan ilmu agama

Saudara-saudara, sebagai satu langkah berjaga-jaga, walaupun kita berhati-hati dalam memilih sumber ilmu , terdapat banyak manfaat dalam mengesahkan kesahihan ilmu yang kita terima. Allah s.w.t. berfirman dalam Surah Al-Isra, ayat 36:

Yang bermaksud: “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan ditanya (dipertanggungjawabkan) tentangnya (pada hari kiamat).”

Saudara, pengesahan kandungan ilmu agama merangkumi beberapa lapisan. Kita perlu mengesahkan sama ada sesuatu ilmu atau kandungan keagamaan mempunyai sandaran yang kuat. Maka pastikanlah sandaran itu sahih, kerana setiap ilmu agama mestilah mempunyai sandaran kepada nas-nas agama. Kita juga perlu mengesahkan sama ada sandaran itu difahami mengikut maksud yang sebenar.

Ketiga: Memahami bahawa aplikasi fiqah berubah mengikut konteks

Saudaraku, peribahasa Melayu ada mengatakan “lain padang, lain belalang”, Begitulah juga halnya dengan hukum fiqah.

Benar, banyak perkara asas atau usul dalam ilmu fiqah tidak berubah seperti solat lima waktu. Namun, ada juga hukum cabang yang berubah mengikut konteks.

Sebagai contoh, kadar mahar atau mas kahwin yang terendah atau mahr mithl berbeza dari satu negara ke satu negara. Agak tidak bersesuaian sekiranya penduduk di salah satu negara mengambil kadar mas kahwin di negara jiran, dan diaplikasikan di negaranya. Ini kerana wujudnya perbezaan pada realiti ekonomi, adat dan kebiasaan kedua-dua negara.

Dengan ini, jelaslah, hukum fiqah dalam perkara-perkara cabang agama, boleh dipengaruhi oleh konteks sama ada tempat, masa, mahupun kebiasaan masyarakat tempatan. Inilah antara sebab mengapa kita melihat kepelbagaian fatwa dan pandangan fiqah dalam perkara cabang di kalangan ulama dari negara yang berlainan, walaupun berpandukan sumber yang sama iaitu Al-Quran dan Sunnah.

Sidang jumaat sekalian,

Marilah bersama kita memelihara keutuhan kehidupan beragama dengan berpandukan sumber-sumber yang sahih, kerana sesungguhnya keutuhan kehidupan beragama kita pada hari ini akan menentukan kedudukan kita di sisi Allah s.w.t. di hari muka.

Setiap ilmu yang kita terima, dan setiap amalan yang kita dasari di atas ilmu tersebut, akan menjadi bekalan apabila kita berdiri di hadapan Allah di padang Mahsyar. Oleh itu, marilah kita pastikan ilmu yang kita pelajari serta amalan yang kita laksanakan sentiasa utuh dan sahih, dengan sebaik mungkin.

Ya Allah, tunjukkanlah kami jalan kebenaran, kurniakan kami kemampuan untuk mengikutinya, dan lindungilah kami dari kejahilan dan kealpaan. Amin, ya Rabbal 'Alamin.

Khutbah Kedua