Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
30 Mei 2025 / 2 Zulhijjah 1446H
Rasakanlah kehadiran Allah azza wa jalla, Tuhan yang Maha Mengetahui setiap niat dan hasrat dalam hati kita. Zahirkan ketakwaan dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Ya Allah Ya Mājid, jadikanlah kami di kalangan orang-orang yang diredai-Mu. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.
Kita kini berada di bulan Zulhijjah, bulan yang penuh keberkatan, dan salah satu daripada empat bulan yang dimuliakan Allah dan dikenali sebagai bulan haram. Di tanah suci, jutaan manusia telah mula berkumpul, menyahut seruan Allah untuk menunaikan ibadah haji, rukun Islam yang kelima.
Firman Allah dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 97:
Yang bermaksud: "Padanya (Baitullah) ada tanda-tanda keterangan yang nyata, (di antaranya) makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya, aman tenteramlah dia. Dan mengerjakan haji dengan mengunjungi Baitullah adalah kewajipan manusia terhadap Allah, bagi sesiapa yang berkemampuanmenuju kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (terhadap kewajipan ibadah haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya daripada sekalian makhluk.”
Menarik sekali dalam ayat ini, Allah menyebutkan tentang istita’ah, yakni keupayaan dalam menyempurnakan ibadah, khususnya ibadah haji. Di sini terletak salah satu keindahan syariat Islam. Ia tidak pernah membebankan, malah memudahkan insan menjalankan ketaatan.
Renungkan contoh-contoh ibadah lain, seperti solat. Kita dituntut melaksanakannya mengikut kadar keupayaan. Mereka yang tidak berupaya berdiri, boleh melaksanakannya secara duduk.
Dalam ibadah puasa Ramadan, golongan yang uzur diberikan keringanan supaya tidak berpuasa, dan untuk menggantikannya di hari lain. Malah bagi mereka yang tidak berupaya menggantikan puasanya sekalipun atas sebab kesihatan atau usia, diberikan keringanan dengan mengeluarkan fidyah, sekaligus menyempurnakan kewajipan berpuasa ke atas dirinya.
Begitu juga dengan ibadah haji. Saya yakin setiap daripada kita berhasrat untuk menunaikan ibadah haji, sekurang-kurangnya sekali dalam hidup kita. Pada masa yang sama, seperti yang dijelaskan dalam ayat Al-Quran tadi, ibadah hajimenjadi satu kewajipan hanya bagi mereka yang benar-benar berupaya dan berkemampuan.
Ayuh, kita mendalami lagi perbincangan hari ini. Apakah maksud sebenar istita’ah, yakni keupayaan? Dalam perihal ibadah haji, adakah ia merujuk kepada kemampuan material dan kewangan semata-mata?
Dalam kitab Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu karangan al-marhum Syeikh Wahbah az-Zuhaili, keupayaan dalam ibadah haji merujuk kepada pemilikan harta, dan juga merangkumi kesihatan dan keselamatan am.
Apa yang dimaksudkan dengan kemampuan material dan harta di sini termasuklah kos perbelanjaan haji, bermula dari persiapan sebelum keberangkatan hinggalah kepulangan ke tanah air. Begitu juga dengan nafkah ahli keluarga sepeninggalannya, sekiranya seseorang merupakan ayah atau suami.
Sedang kemampuan dari segi kesihatan anggota badan di sini menggariskan bahawa, pesakit kronik dan warga emas yang berisiko tinggi dari sudut kesihatan, walau berkemampuan dari sudut ekonomi, adalah terkecuali dari kewajipan menunaikan ibadah haji secara fizikal.
Manakala unsur kemampuan yang ketiga, iaitu faktor keselamatan, perlu juga dipertimbangkan dengan serius. Tragedi haji tahun lalu, yang menyaksikan lebih seribu kematian akibat faktor-faktor yang menjejas keselamatan seperti cuaca panas yang luar biasa, mengingatkan betapa syarat ini begitu mustahak dalam memelihara kemaslahatan.
Bagi kita yang belum berpeluang melaksanakan ibadah haji, usah bersedih. Allah Maha Adil dan Maha Mengetahui setiap niat kita. Kita harapkan, setiap niat baik kita ini, ada ganjarannya. Sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Barangsiapa yang berniat melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya, Allah tetap mencatatnya sebagai satu pahala sempurna."(Riwayat Al-Bukhari & Muslim).
Bagi mereka yang sudah memiliki keupayaan dari segi ekonomi, namun diuji pula dari sudut kesihatan, kita masih berpeluang memenuhi kewajipan rukun Islam yang kelima ini, menerusi haji badal.
Tidak kira di mana pun kita berada, 10 hari pertama Zulhijjah ini tetap merupakan peluang keemasan untuk meraih ganjaran besar. Antara amalan yang boleh kita lakukan, adalah dengan memperbanyakkan zikir. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Tidak ada hari-hari yang lebih agung di sisi Allah, dan amal soleh yang lebih dicintai-Nya daripada hari-hari sepuluh (Zulhijjah) ini. Maka perbanyakkanlah padanya tahlil, takbir dan tahmid." (Riwayat Ahmad)
Kita juga boleh berazam untuk berpuasa pada hari Arafah nanti, yakni pada tanggal kesembilan Zulhijjah, serta memperbanyakkan doa pada hari tersebut.
Rasulullah s.a.w. pernah ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah ini, lalu baginda s.a.w. menjelaskan:
Yang bermaksud: “Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang.”(Riwayat Muslim)
Dalam kesibukan kita menjalani kehidupan seharian, luangkanlah masa untuk perbaiki hubungan kita dengan Allah. Dialah yang menciptakan kita, dan Dialah yang layak menjadi tujuan kita dalam setiap perkara.
Ambillah peluang pada permulaan bulan Zulhijjah ini, untuk muhasabah semula keadaan kita, berdoa dan meminta keampunan, di samping memperbanyakkan ibadah mengikut keupayaan diri. Moga Allah s.w.t. menerima segala usaha kecil kita dan memudahkan jalan kita untuk menjadi hambahambanya yang soleh. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah kita menadah tangan ke hadrat ilahi. Dengan hati yang penuh telus. Dengan penuh pengharapan. Agar Allah menerima doa ini. Rintihan daripada seorang hamba yang serba kekurangan. Kepada Tuhan yang Maha Perkasa, yang Maha Mendengar. Doa kita khususnya untuk saudara kita yang terus dihimpit penderitaan dan sengsara di Gaza. Di saat bantuan daripada umat manusia terputus, ayuhlah kita sebagai ‘ibadullah, menghadap Tuhan semesta alam, Tuhan yang lebih berkuasa daripada setiap penguasa, yang lebih perkasa daripada setiap tentera, untuk terus melimpahkan bantuannya kepada mereka.
Ya Allah, Tuhan yang Maha mendengar suara hati hamba-Nya, kurniakanlah kami pengampunan, sesungguhnya kami adalah hamba-hamba-Mu yang sering alpa dan melakukan kesilapan. Ampunilah dosa-dosa kami yang terdahulu dan terkemudian, yang disengajakan mahupun yang tidak disengajakan, yang kecil dan sedikit mahupun yang seluas lautan. Dan janganlah Kau jadikan dosa tersebut menjadi penyebab terhijabnya setiap permintaan.
Wahai Tuhan yang memperkenan permohonan hamba-Nya, pada hari dan saat yang penuh keberkatan ini, kami tunduk dengan insaf dan tawaduk, mengemis secebis rahmat-Mu Ya Rahman, bantulah saudara-saudara kami yang tertindas di setiap tempat, khususnya di Gaza dan Palestin.
Ya Allah Ya Mannan, Kau ringankanlah bebanan mereka, lindungilah mereka dari ancaman kekerasan dan bahaya, sembuhkanlah yang sakit dan terluka, dan kurniakanlah rezekiMu bagi yang lapar dan dahaga.
Ya Latiff Ya Hannan, dakapilah mereka dengan rahmat-Mu, tempatkan mereka dalam kasih sayang-Mu, teguhkan semangat mereka dengan keyakinan pada bantuan-Mu.
Ya Allah Ya Dzal ‘Izzi was-Sultan, gantikan ketakutan mereka dengan keamanan, kesempitan dengan kelapangan, keresahan dengan ketenangan, dan kesedihan dengan kegembiraan.