collections khutbah Legasi peninggalan seorang mukmin
Legasi peninggalan seorang mukmin

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

31 Julai 2026 / 16 Safar 1448H

Legasi Peninggalan Seorang Mukmin

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Bertakwalah kepada Allah s.w.t. dengan penuh keinsafan. Laksanakan segala perintah-Nya dan tinggalkan segala larangan-Nya. Semoga Allah s.w.t. merahmati kita semua di dunia dan di akhirat. Amin, ya Rabbal 'Alamin.

Saudaraku,

Setiap jiwa pasti akan merasakan kematian. Ini merupakan hakikat kehidupan yang tidak kekal. Bagi seorang Mukmin pula, kematian mengajak kita untuk merenungkan: apakah legasi yang bakal ditinggalkan setelah kita tiada nanti?

Sidang hadirin,

Al-Quran menganjurkan kita membuat perancangan hidup, baik untuk pendidikan, mahupun untuk kerjaya, dan persaraan.

Begitulah juga halnya dengan kematian. Suka atau tidak, persiapan ini perlu dilakukan. Kerana apa yang kita persiapkan dan bakal tinggalkan seharusnya membawa manfaat. Tepuk dada tanya selera, adakah kebajikan kita semasa hidup masih boleh terus dinikmati insan lain setelah kita tiada?

Tuan-tuan, seorang insan mungkin telah tiada, tetapi nilai-nilai mulia yang sering dipaparkan, atau nasihat yang penuh hikmah yang pernah diucapkan, kekal segar di ingatan insan lain. Amal baktinya juga boleh disumbangkan dalam bentuk material.

Contohnya, sekolah, atau masjid yang diwakafkan dan dibangunkan oleh seseorang yang telah lama pergi meninggalkan kita. Namun sumbangannya masih kita rasakan hingga ke hari ini.

Saudara-saudara yang dikasihi,

Baginda Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: “Kami golongan para nabi tidak diwarisi. Apa yang kami tinggalkan adalah sedekah” (Riwayat Imam Al-Bukhari)

Para nabi memiliki beberapa keistimewaan yang membezakan mereka daripada insan lain. Antaranya, tiada pewarisan harta, dan sekiranya mereka meninggalkan harta, ia menjadi sedekah di jalan Allah. Ini kerana apa yang diwariskan oleh seorang nabi kepada mereka yang datang selepasnya, sama ada zuriatnya atau pengikutnya, bukanlah harta benda, tetapi ilmu dan ajarannya.

Apabila kita renungkan hal ini, jelaslah bahawa ilmu yang ditinggalkan oleh Nabi s.a.w. jauh lebih bermakna daripada apa jua bentuk warisan. Kerana dalam ilmu itu terkandung gambaran yang lengkap tentang bagaimana kita sendiri boleh meninggalkan sebuah legasi untuk manfaat jangka panjang.

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Apabila seseorang itu meninggal dunia, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak yang soleh yang mendoakannya.” (Riwayat Imam Muslim)

Khutbah pada hari ini ingin berkongsi tiga perkara, yang diharapkan dapat memberikan suntikan motivasi, untuk kita memikirkan legasi yang ingin kita tinggalkan, agar menjadi manfaat insan lain setelah peninggalan kita nanti.

Pertama: Sedekah jariah yakni yang berterusan pahalanya

Saudara, Sayyidina Uthman ibnu Affan r.a. membeli sebuah perigi di Madinah untuk dimanfaatkan masyarakat Islam di sana. Perigi itu masih wujud sehingga hari ini, dan memberi manfaat kepada insan lain walaupun 1400 tahun telah berlalu. Sayyidina Uthman telah tiada, namun kebaikannya terus mengalir dan menyentuh hidup insan yang tidak pernah bersua muka dengannya.

Kedua: Ilmu yang bermanfaat

Sekiranya kita seorang pendidik atau guru, pastinya ini adalah legasi peninggalan kita suatu hari nanti. Bagaimana pula sekiranya kita bukan seorang guru? Adakah kita terlepas peluang mendapat keistimewaan ini?

Jawapannya, tidak sama sekali. Lihat sahaja madrasah-madrasah kita, dibina oleh mereka yang telah menghulurkan sumbangan material, begitu juga tenaga dan buah fikiran.

Sumbangan yang ingin melihat budaya ilmu terus mekar sepanjang zaman, walaupun mereka sendiri sudah lama pergi menghadap Ilahi. Kerana sumbangan ini, ilmu agama, Al-Quran dan sunnah dapat dipelajari oleh generasi terkini. Sumbangan sebegini juga turut membawa ganjaran yang berterusan seperti ilmu yang bermanfaat.

Ketiga: Anak yang soleh yang mendoakan kedua orang tuanya

Tuan-tuan, sewajarnya, inilah impian setiap ayah dan ibu. Anak-anak dididik mengenal Allah dan rasul-Nya, agar dia mengamalkan ajarannya, dan menjadi anak-anak yang sentiasa menginginkan kebaikan untuk orang tuanya, walaupun mereka sudah tiada. Jika ada antara kita yang telah kehilangan ayah dan ibu, seringlah meluangkan masa untuk mendoakan mereka. Doa agar diampunkan kesilapan mereka, dihapuskan dosa-dosa mereka, dilapangkan kubur mereka dan setiap amalan mereka diredai Tuhan yang Maha Esa.

Saudara yang dikasihi,

Usahlah berlengah lagi. Buatlah perancangan agar legasi kita terus memberi manfaat walaupun kita sudah tiada. Laburlah untuk pahala yang berpanjangan. Semoga apa sahaja kebaikan yang pernah kita lakukan sepanjang hidup menjadi asbab terampunnya dosa-dosa kita, dan dikurniakan balasan syurga kelak. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Khutbah Kedua