Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
4 April 2025 / 5 Syawal 1446H
Kewajiban Menjaga Silaturahim
Zumratal Mukminin Rahimakumullah,
Ayat yang dibacakan tadi, iaitu ayat pertama Surah An-Nisa, mengandungi peringatan supaya kita sentiasa mengutamakan dua tuntutan agama. Apakah dua perkara ini?
Yang pertama, kita sentiasa bertakwa kepada Allah s.w.t. dengan menjalankan perintah-Nya, dan menjauhi larangan-Nya. Yang kedua, kita sentiasa menjaga ‘Al-Arham’, iaitu hubungan sesama ahli keluarga, termasuklah sanak saudara. Menjaga hubungan baik dengan keluarga, dengan menunaikan hak dan menjalankan tanggungjawab terhadap mereka – ini adalah perkara yang dirujuk dalam Islam sebagai jalinan silaturahim.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Saya yakin ramai yang melihat Syawal sebagai musim untuk mempereratkan hubungan kekeluargaan. Oleh itu, marilah kita merenung kembali kepentingan menjaga silaturahim dalam kehidupan seorang Muslim.
Saudaraku, apakah kaitan silaturahim yang kita amalkan ini dengan ajaran Islam? Selain menjaga hubungan kita dengan Allah, mengapa kita dituntut supaya menjaga hubungan dengan keluarga? Apakah kaitan antara menjaga silaturahim dengan keimanan kita?
Hadirin sekalian, silaturahim melepasi batasan tradisi dan budaya. Bahkan, ia adalah tuntutan agama yang mencerminkan keimanan seseorang Muslim, sehingga ia digandingkan dengan tuntutan takwa, seperti dalam ayat pertama surah An-Nisa yang dibacakan tadi.
Rasulullah s.a.w. pula pernah bersabda yang bermaksud:
“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia menyambung silaturahim.” (Riwayat Al-
Bukhari dan Muslim)
Menurut riwayat tafsir, pengertian hadis tersebut adalah sama dengan apa yang dimaksudkan oleh Allah s.w.t. dalam Surah ArRa’d, ayat 21:
Yang bermaksud: “Dan orang-orang yang menghubungkan apa yang Allah perintahkan supaya dihubungkan, dan mereka takut kepada Tuhan mereka serta takut kepada hitungan amal (hisab) yang buruk.”
Menjaga hubungan baik dengan keluarga dan saudara-mara, berbalas budi, beramah mesra, mampu memenuhi keperluan sosial seseorang insan. Sedang Islam pula memberikan dimensi keberkatan hidup kerana menjaga hubungan kekeluargaan. Malah, keberkatan hidup merangkumi segala sesuatu sepanjang hayat, termasuklah aspek kesihatan, usia, sosial dan sebagainya.
Sabda Rasulullah s.a.w. dalam sepotong hadis yang bermaksud: “Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya dan dipanjangkan usianya, maka (hendaklah dia) menyambung silaturahim.” (Riwayat Al-Bukhari)
Pada kesempatan ini, khutbah ingin menekankan 3 aspek bagaimana kita boleh melaksanakan tuntutan silaturahim dan memperkukuhkan hubungan keluarga.
Yang pertama: Menunaikan hak dan tanggungjawab silaturahim.
Ini termasuk saling menziarahi, bertanya khabar, berkongsi rezeki, berlaku ihsan, dan saling mendoakan. Walaupun bulan Syawal ini begitu sinonim dengan aktiviti tersebut, usahlah kita mengkhususkannya pada bulan ini sahaja. Ambil berat tentang kebajikan saudara-mara kita, walaupun sekiranya kita tidak berkesempatan untuk bersua muka. Ini merupakan hak dan tanggungjawab kita.
Kedua: Memperbaiki hubungan.
Menjadi lumrah kehidupan insani, kadangkala, haluan hidup menyebabkan pertalian kita menjadi renggang. Atau, mungkin pernah berlaku salah faham yang mencemar keharmonian.
Usahlah kita terus di takuk lama, mengungkit dan menjaja kesilapan. Sebaliknya, berusahalah untuk memperbaiki hubungan. Kalau ini belum mampu kita lakukan, sekurangkurangnya, kita tidak memburukkan lagi keadaan dengan membuka cerita lama dan melontarkan sindiran.
Imam Abu Daud meriwayatkan, bahawa Rasulullah s.a.w. pernah menjelaskan kepada para sahabat, perkara yang lebih afdal daripada amalan solat, puasa (sunnah), dan bersedekah, adalah memperbaiki hubungan sesama manusia. Manakala kerosakan hubungan boleh menyebabkan kemusnahan kerukunan dalam kehidupan duniawi, dan kehilangan kesan positif daripada peribadatan kita.
Ketiga: Memelihara keluarga daripada keburukan dan kejahatan.
Silaturrahim juga bererti kita mahukan yang terbaik buat kaum kerabat kita. Oleh itu, kita harus peka tentang keadaan mereka, dalam urusan duniawi mahupun agama.
Mungkin, ada di kalangan keluarga kita yang belum mempelajari dan mengamalkan agama dengan cara yang lebih baik, belum beristiqamah menjaga solat, belum mahu belajar mengaji dan sebagainya. Kepekaan kita sewajarnya mendorong kita mencari peluang yang sesuai untuk membimbing mereka dengan hikmah. Contohnya, dengan memperkenalkan mereka kepada pengisian agama yang sahih, agar mereka terpelihara daripada ajaran dan ideologi sesat, yang masih berleluasa pada hari ini.
Saudara yang dirahmati Allah,
Ingatlah, silaturahim bukan sekadar amalan di bulan Syawal. Namun, ia adalah kewajipan ke atas setiap Muslim sepanjang hidup. Moga Allah s.w.t. menerima segala amal dan usaha kita, menjaga hubungan keluarga kita, melimpahkan rahmat-Nya ke atas kita, dan mengumpulkan kita semua di dalam syurga-Nya.
KHUTBAH KEDUA
Sidang Jemaah sekalian,
Marilah kita terus menyebarkan kebaikan dan membantu mereka yang memerlukan. Yayasan Rahmatan Lil ‘Alamin (RLAF) masih aktif menjalankan kempen ‘Aid for Gaza’, dengan sumbangan diterima melalui laman web RLAF sehingga 6 April 2025. Dilancarkan pada 24 Februari, kutipan ini kini hampir ke penghujungnya.
Pada masa yang sama, RLAF sedang menganjurkan kutipan dana melalui masjid-masjid untuk membantu mangsagempa bumi di Myanmar dan Thailand. Kutipan dana anjuran RLAF ini adalah dengan kerjasama Palang Merah Singapura. Ia bermula hari ini, Jumaat 4 April 2025 hingga Khamis, 10 April 2025. Sumbangan anda amat dihargai. Ia boleh dihulurkan melalui tabung khas “Collection to Support Communities Affected by the Myanmar and Thailand Earthquake”.