Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
22 Ogos 2025 / 28 Safar 1447H
Kepimpinan Bermula daripada Diri Sendiri
Tanamkanlah dalam diri kita kesedaran dan takwa terhadap Allah s.w.t., Al-Haseeb – Tuhan Yang Maha Menghitung segala amalan kita. Laksanakanlah segala perintah-Nya dan jauhilah segala larangan-Nya. Semoga hidup kita terus diberkati, dan kita semua mendapat keredaan-Nya. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.
Khutbah pada hari ini akan membicarakan soal kepimpinan. Dalam hal ini, apa yang perlu diperhatikan sebelum kita menjadi pemimpin – sama ada dalam keluarga, pertubuhan, persatuan pelajar dan seumpamanya? Ketahuilah, sejajar dengan ruh tuntutan Islam, seorang pemimpin mestilah terlebih dahulu mampu memimpin dirinya sendiri – yakni memiliki ciri kepimpinan terbaik dalam dirinya – sebelum dia memimpin orang lain.
Junjungan kita Rasulullah s.a.w. sangat memahami keperluan ini. Baginda tidak pernah menyuruh atau menggalakkan sesuatu, melainkan Baginda menjadi yang pertama melakukannya. Apabila Baginda menyeru kepada ketaatan, peribadi baginda sendiri menjadi cerminan utama ciri-ciri hamba Allah yang taat. Apabila baginda s.a.w. menganjurkan sifat sabar, Baginda sendiri menjadi contoh kesempurnaan sifat tersebut. Begitu juga apabila baginda mengajak manusia menuntuni panduan Al-Quran, Baginda sendiri telah pun menunjukkan peribadidan akhlak cerminan Al-Quran. Malah, itulah jawapan Sayidatina A’ishah r.a. ketika ditanya oleh para sahabat tentang akhlak Baginda di rumahnya, beliau berkata:
Yang bermaksud: "Akhlaknya adalah al-Qur’an."
Bahkan, keunggulan keperibadian dan kepimpinan
Baginda s.a.w., disebutkan Allah dalam Surah Al-Ahzab, ayat 21:
Yang bermaksud: “Sesungguhnya, pada diri Rasulullah itu terdapat teladan yang baik, bagi mereka yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (balasan) Hari Akhirat serta banyak mengingati Allah.”
Kehidupan Rasulullah s.a.w. merupakan khazanah yang penuh dengan ciri-ciri kepimpinan diri yang sepatutnya mejadi contoh bagi setiap Muslim. Terdapat dua panduan berharga untuk kita teladani bersama:
Pertama: Istiqamah Rasulullah s.a.w. dalam ibadah dan pengabdian.
Rasulullah s.a.w. sentiasa mengekalkan hubungan yang erat dengan Allah s.w.t. menerusi ibadah yang istiqamah atau berterusan.
Istiqamah dalam peribadatan adalah asas penting dalam kepimpinan diri seseorang, kerana jalinan kerohanian yang berterusan antara kita dengan Allah, boleh memberi kesan dalam membentuk keperibadian dan akhlak, serta kesungguhan kita untuk melakukan kebaikan. Ibadah yang berterusan menyuburkan kesabaran, ketabahan dan kawalan diri yang membantu kita menghadapi cabaran hidup dengan penuh kecekalan.
Istiqamah dalam pengabdian juga mengingatkan kita tentang amanah dan tanggungjawab di hadapan Allah. Ia mengawasi
tingkah laku kita ketika memimpin diri sendiri mahupun orang lain dengan penuh keikhlasan.
Kedua: Kepimpinan dan akhlak mulia perlu bergandingan.
Nabi s.a.w. terkenal dengan ketinggian akhlaknya yang mencapai kemuncak kejujuran, kerendahan hati, ketelusan, keteguhan prinsip, dan banyak lagi. Ini adalah contoh-contoh akhlak yang perlu ada dalam diri seorang pemimpin. Kesimpulannya, kepimpinan tanpa disertakan akhlak adalah kepimpinan yang pincang. Kita perlu menghiaskan diri dengan akhlak mulia, sekiranya kita benar-benar ingin menjadi seorang pemimpin dalam apa jua lapangan.
Kepimpinan diri adalah asas segala bentuk kepimpinan. Jika kita tidak mampu membimbing diri sendiri untuk menjadi hamba Allah s.w.t. yang amanah, kemungkinan besar kita juga tidak mampu membimbing orang lain ke arah yang sama.
Maka, marilah kita sama-sama meneladani kepimpinan Nabi dengan bersifatistiqamah dalam menjaga hubungan dengan Allah, menerusi ibadah yang benar-benar ikhlas, dihiasi pula dengan akhlak yang mulia. Semoga nilai-nilai ini membimbing kita dan mereka yang kita pimpin ke arah kebaikan dan kebenaran. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.
Khutbah Kedua