collections khutbah Islam dan Interaksi Digital
Islam dan Interaksi Digital

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

24 Oktober 2025 / 2 Jamadilawal 1447H

Islam dan Interaksi Digital

Zumratal mukminin rahimakumullah,

Bertakwalah kepada Allah s.w.t. Marilah laksanakan segala perintah-Nya dan jauhi segala larangan-Nya. Isilah masa kita dengan perkara yang bermanfaat serta amal kebaikan. Semoga Allah s.w.t. memberkati setiap detik usia kita dan mereka yang tersayang. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Sidang jemaah, muda dan dewasa,

Tahukah anda bahawa telefon pintar (smartphone) kita merekodkan jumlah masa penggunaannya setiap hari? Sekarang, cuba kita jawab soalan berikut dengan jujur. Betapa banyak masa lapang yang kita habiskan setiap hari untuk gajet digital, sama ada telefon pintar, tablet, komputer dan sebagainya? Sejam? Dua jam? Atau kurang? Bandingkan pula dengan masa yang kita luangkan untuk mengingati Allah dan Rasul-Nya, sama ada dengan membaca al-Quran, menelaah panduan Nabawi dan seumpamanya.

Saudaraku, kita sedia maklum bahawa gajet digital boleh menjadi sumber kebaikan dan juga keburukan, kemanfaatan dan juga kelalaian. Kehidupan kita banyak bergantung kepada gajet-gajet ini. Ia merupakan antara ujian terbesar umat akhir zaman.

Maka yang demikian, khutbah pada hari ini sama sekali tidak bertujuan menggesa kita meninggalkan gajet digital, kerana Islam adalah agama yang menekankan keseimbangan dan kebijaksanaan. Kita tidak disuruh mengasingkan diri dari realiti kehidupan di dunia, seperti membina kerjaya, berniaga, bersukan, termasuk juga meraih faedah dari gajet yang kita miliki. Sebaliknya, kita dituntut supaya menguruskannya dengan cara yang baik, bermanfaat serta berpandukan ajaran Allah dan Rasul-Nya s.a.w.

Saudara yang dikasihi Allah,

Allah s.w.t. berfirman dalam Surah al-‘Ankabut ayat 64:

Yang bermaksud: “Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah permainan dan hiburan semata-mata. Dan sesungguhnya akhirat jualah kehidupan yang sebenar, sekiranya mereka mengetahui.”

Inilah peringatan jelas dari Allah tentang kehidupan dunia yang bersifat sementara. Ia penuh dengan permainan yang menghibur dan melalaikan, jika tidak diurus dengan baik. Dan pada zaman ini, ia merangkumi hiburan digital seperti permainan, media sosial, video dan aktiviti menatal atau scrolling tanpa henti. Apabila bosan dengan sesuatu kandungan aplikasi, kita berpindah ke kandungan yang lain. Dan begitulah seterusnya, tanpa menyedari masa yang berlalu.

Jemaah yang dikasihi sekalian,

Terdapat tiga langkah yang boleh kita ambil untuk menguruskan penggunaan gajet digital dengan lebih baik:

Pertama: Berwaspada dengan penggunaan masa lapang.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Dua nikmat yang kebanyakan manusia lalai terhadapnya: kesihatan dan masa lapang.” (Riwayat al-Bukhari)

Kesihatan dan masa lapang adalah antara nikmat paling berharga daripada Allah s.w.t. Namun, pada hari ini, ia dicuri sedikit demi sedikit oleh skrin yang kita tatapi. Sikap berwaspada bermaksud kita lebih sedar tentang masa yang dihabiskan di hadapan skrin.

Jauhi dan latih diri untuk berpisah dari kandungan yang tidak sihat atau sia-sia, terutama ketika menghampiri masa beribadat seperti sekarang ini, atau ketika belajar, bertugas atau semasa bersama keluarga. Begitu juga halnya ketika melintas jalan raya, memasuki tandas, atau sebelum tidur sampai ke larut malam, sehingga mengorbankan rehat dan kesihatan jangka panjang.

Kedua: Menggunakan teknologi untuk pembangunan diri

Gajet boleh menjadi alat yang membantu perkembangan peribadi dan rohani. Terdapat pelbagai aplikasi dan platform digital yang boleh meningkatkan ilmu serta memperkukuh hubungan kita dengan Allah, Al-Quran dan sebagainya. Kini, terdapat banyak kandungan Islam yang baik lagi sahih di hujung jari, seperti kelas dalam talian, kuliah agama serta Al-Quran dan hadis digital. Semua ini boleh menjadi wasilah untuk meningkatkan kefahaman agama dan mengikat diri kita dengan zikir dan ilmu di mana sahaja kita berada.

Kita juga perlu berhati-hati dan bijak menilai sumber ilmu dalam talian. Walaupun teknologi masa kini termasuk kecerdasan buatan (AI) boleh memudahkan capaian maklumat, ia mempunyai keterbatasan. Ia mungkin tidak memberikan kefahaman mendalam, tiada panduan rohani dan kurang kesedaran terhadap konteks dalam urusan agama.

Oleh itu, kita harus merujuk kepada asatizah yang bertauliah untuk mendapatkan panduan agama yang sahih. Gunakan teknologi sebagai alat pembantu dalam perjalanan ilmu, tetapi jangan sekali-kali menjadikannya pengganti peranan dan bimbingan guru agama.

Ketiga: Menjauhi penyalahgunaan nama samaran

Antara bahaya terbesar dunia maya ialah anonymity atau ilusi tanpa nama, yakni perasaan seolah-olah kita boleh berkata atau melakukan apa sahaja tanpa dikenali. Ia mendorong sesetengah orang menulis kata-kata kesat, mengumpat, menyebar berita palsu dan sebagainya dengan sangkaan bahawa mereka tidak akan dipersoalkan dan terlepas daripada pandangan manusia.

Namun ingatlah, walaupun kita mungkin boleh bersembunyi daripada pandangan manusia, kita tidak sesekali boleh bersembunyi daripada pandangan Tuhan yang menciptakan manusia. Setiap perkataan yang ditulis, setiap komen yang dikirimkan, setiap tindakan yang dilakukan, semuanya dicatat dalam kitab amalan kita.

Islam menitikberatkan sikap tanggungjawab dan kejujuran. Dunia digital bukanlah ruang bebas tanpa batas moral dan akhlak. Ia hanyalah satu lagi medan ujian yang mana amal perbuatan kita sedang ditulis dan akan dipertanggungjawabkan di akhirat.

Saudara-saudara sekalian,

Setiap detik yang berlalu tidak akan kembali. Maka, isilah masa lapang kita dengan perkara yang bermanfaat dan amal soleh. Semoga masa yang kita luangkan dalam setiap urusan menjadi saksi yang membantu dan bukan yang menghukum kita, pada Hari Pembalasan. Allahul Musta’aan. 

 

Khutbah Kedua