collections khutbah Iman, Persaudaraan dan Kekuatan Bersama
Iman, Persaudaraan dan Kekuatan Bersama

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

23 Januari 2026 / 4 Syaaban 1447H

Iman, Persaudaraan dan Kekuatan Bersama

Zumratal mukminin rahimakumullah,

Bertakwalah kepada Allah s.w.t. pada setiap masa. Taati segala perintah-Nya dan jauhi segala larangan-Nya. Ingatlah bahawa Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat; tiada satu dosa mahupun pahala yang tersembunyi daripada pengetahuan-Nya. Semoga takwa ini membimbing kita ke jalan yang lurus dan diredai-Nya. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Khutbah minggu lalu menyentuh tentang peristiwa Israk dan Mikraj yang dirakamkan dalam sirah Rasulullah s.a.w. Pada minggu ini pula, khutbah akan mengetengahkan antara inisiatif terawal Rasulullah s.a.w. sebaik sahaja Baginda tiba di Madinah selepas hijrah, iaitu memeterai perjanjian persaudaraan antara golongan Muhajirin (pendatang dari Makkah) dan Ansar (penduduk Madinah).

Mengapakah perkara ini menjadi antara inisiatif terawal Baginda s.a.w.? Apakah keperluan mendesak yang mendorong pembentukan perjanjian ini?

Saudaraku,

Rasulullah s.a.w. menyedari bahawa golongan Muhajirin sangat memerlukan sokongan, setelah meninggalkan keluarga, tanah air dan harta benda mereka di Makkah. Dalam masa yang sama, Baginda juga mengiktiraf kesungguhan golongan Ansar untuk melakukan kebaikan. Walaupun mereka memeluk Islam lebih lewat daripada golongan Muhajirin, mereka tetap bersemangat untuk menyumbang kepada agama.

Selain itu, Rasulullah s.a.w. juga memahami kesan persaudaraan dalam pengabdian, kerana persaudaraan berteraskan keimanan akan saling mengingatkan, mendorong, menyokong dan menegur dengan hikmah dalam usaha meraih keredaan Allah.

Baginda s.a.w. peka bahawa untuk kekal istiqamah secara bersendirian adalah jauh lebih sukar, terutamanya dalam keadaan penuh ketidaktentuan, kesukaran dan ujian berat yang menghimpit masyarakat Islam ketika itu. Oleh itu, perjanjian persaudaraan ini dilaksanakan sebaik sahaja Rasulullah s.a.w. tiba di Madinah.

Roh atau semangat persaudaraan dan sikap saling ingin membantu ini menepati pedoman Al-Quran. Firman Allah s.w.t. dalam Surah at-Taubah, ayat 71:

Yang bermaksud: “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong kepada sebahagian yang lain. Mereka menyuruh berbuat kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran, (mereka) mendirikan solat, menunaikan zakat serta mentaati Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan dirahmati oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

Sidang Jumaat yang dihormati,

Dalam dunia hari ini, kita juga menghadapi cabaran tersendiri. Oleh itu, semangat persaudaraan amat penting. Kita perlu mengambil inspirasi daripada ikatan bersejarah yang dirakamkan sirah Rasulullah s.a.w. dengan memperkukuh hubungan sesama mereka yang hidup di sekeliling kita dan menjadikannya satu persaudaraan yang berpaksikan nilai iman dan bertujuan meraih keredaan Allah.

Di sini, khutbah membentangkan dua mesej sebagai peringatan bersama:

Pertama: Kita perlu bersikap belas kasihan dan sedia membantu sesiapa sahaja yang menghadapi kesusahan

Sama ada melalui bantuan kewangan, sokongan emosi, ataupun sekadar menjadi pendengar yang prihatin. Seorang Muslim melihat hubungannya bersama insan lain sebagai satu peluang menyebarkan ‘amar makruf’ atau kebaikan yang disebutkan dalam ayat Quran yang dibacakan tadi.

Sekiranya yang dibantu adalah seorang Muslim, maka terpancar jalinan iman antara mereka berdua. Jika yang dibantu bukan daripada latar belakang yang sama, terserlah pula keindahan dan kemanusiaan Islam. Inilah kemanisan hubungan insani yang berteraskan iman dan kebersamaan.

Kedua: Kita mesti saling menyokong dalam pengukuhan nilai iman

Ini dapat dicapai dengan kita membudayakan dan menggalakkan amalan kebaikan, kemurahan dalam bersedekah, akhlak yang mulia, istiqamah dalam ibadah, kesungguhan menuntut ilmu agama serta saling bertanggungjawab dalam urusan agama.

Mulakan dengan lingkaran pengaruh yang terdekat, seperti anak-anak, keluarga, rakan dan sesiapa sahaja yang kita temui. Usaha bersama yang berteraskan kecemerlangan rohani inilah yang menjadi kunci kejayaan masyarakat Islam lampau dan tidak mustahil juga, generasi hari ini dan yang akan datang.

Sidang Jumaat yang dikasihi,

Umat Islam terdahulu telah menunjukkan semangat kebersamaan dalam hubungan sesama mereka. Oleh itu, dalam kehidupan kita dan dalam apa sahaja bidang yang kita ceburi, terapkanlah semangat untuk membantu sesiapa di sekeliling kita dan berlumba-lumba menabur sumbangan.

Tanamkan sifat kebersamaan. Rebutlah setiap peluang kebaikan. Dengan kesedaran yang berteraskan iman, moga kita memperoleh pahala yang memberatkan neraca amalan. Amin, Ya Rahman Ya Mannan.

Khutbah Kedua