Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
18 Julai 2025 / 22 Muharram 1447H
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah kita hiasi diri dengan takwa kepada Allah s.w.t. — takwa yang membimbing hati agar taat kepada setiap perintah-Nya, dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga takwa itu menjadi suluh dalam gelita, dan membawa kebaikan dalam kehidupan
kita. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.
Saudara,
Mengapakah manusia diciptakan berbeza-beza? Mengapa kita tidak diciptakan sebagai satu bangsa yang sama?
Jawapannya ada pada ayat 13 Surah Al-Hujurat, ayat 13:
Yang bermaksud: “Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu saling mengenali. Sesungguhnya, yang paling mulia dalam kalangan kamu di sisi Allah, ialah yang paling bertakwa. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.”
Sidang jemaah yang mulia,
Allah menyuruh kita menjalin hubungan sesama insan, jalinan yang adil dan harmoni yang berpaksikan pada ketakwaan — dan bukan sekadar didasari oleh bangsa, bahasa, warna kulit mahupun keturunan. Didikan ini tergambar indah dalam lipatan sejarah penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w. ke kota Madinah. Ia merupakan titik tolak terbentuknya sebuah masyarakat yang berbilang suku bangsa dan kaum tetapi bersatu hati, saling menghormati dan hidup dalam suasana harmoni.
Di kota Madinah, Baginda s.a.w. mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar. Baginda s.a.w. turut memeterai Piagam Madinah — sebuah perjanjian yang menjamin hak setiap penduduk, termasuk golongan bukan Islam, untuk hidup aman, damai, dan bebas dari segala bentuk kezaliman. Inilah bukti bahawa Islam menjunjung tinggi prinsip kesaksamaan, kesatuan, dan keharmonianmerentas agama dan bangsa.
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:
Yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah menghapuskan dari kamu kebanggaan jahiliyah dan kemegahan dengan keturunan. Seseorang itu hanyalah seorang mukmin yang bertakwa, atau seorang penderhaka yang celaka. Kamu semua adalah anak-anak Adam, dan Adam berasal daripada tanah.” (Hadith Riwayat Abi Daud)
Sidang Jumaat sekalian,
Mari kita hayati dua pengajaran penting daripada peristiwa hijrah yang wajar kita renungkan dan dijadikan amalan.
Yang Pertama: Melihat perbezaan sebagai jambatan kasih, bukan jurang kebencian.
Saudara, perbezaan dalam paras rupa, bangsa dan latar belakang adalah ketentuan Allah s.w.t. Ia bukan satu kesilapan, tetapi merupakan satu ujian – untuk melihat sejauh mana kita mampu berlaku adil, berlaku ihsan serta menyemai kasih sayang.
Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Hujurat, ayat 11 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah segolongan kaum (lelaki) menghina kaum yang lain, (kerana) kemungkinan mereka yang dihina adalah lebih baik daripada mereka. (Dan janganlah pula segolongan kaum) wanita menghina wanita lain, boleh jadi mereka yang dihina lebih baik daripada mereka. Dan janganlah kamu (saling) mencela sesama sendiri dan janganlah (saling) memanggil dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat maka merekalah orang-orang yang zalim."
Saudaraku, apa yang kita dapat fahami dari ayat ini adalah sesungguhnya Allah s.w.t. melarang keras segala bentuk celaan dan perlekehan sesama manusia. Kemuliaan manusia tidak diukur pada asal-usul atau rupa semata-mata, tetapi pada iman dan takwa yang menghuni jiwa.
Sungguh, sikap menghina dan memperkecilkan orang lain hanya akan menyalakan api kebencian, menggugat keharmonian, dan meretakkan semangat perpaduan.
Sebaliknya, Islam mengajak kita untuk bersikap rendah hati, saling mengenali, saling menghormati, serta menjauhi katakata yang melukai.
Yang Kedua: Menghiasi lisan dengan sulaman yang menyatukan, bukan menjatuhkan.
Dalam sebuah hadith riwayat Imam Muslim, Nabi s.a.w. pernah menegur Abu Dzar r.a. kerana memanggil seseorang dengan perkataan yang berbaur perkauman:
Yang bermaksud: “Sesungguhnya, engkau seorang yang masih ada sisa jahiliyah dalam dirimu."
Bayangkan, sekiranya junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w., seorang nabi dan rasul, yang dimuliakan Allah dengan pelbagai mukjizat, menolak segala bentuk diskriminasi, dan sikap yang merendahkan orang lain kerana perbezaan warna kulit, bahasa, keturunan atau bangsa, mengapa harus kita, yang belum terjamin tempat di syurga Allah, merasakan diri ini lebih mulia dari yang lain, dan sanggup menuturkan ucapan-ucapan yang menjatuhkan?
Islam yang sebenar mendorong manusia untuk mengenali, bukan mencaci. Islam mendidik kita menghormati, bukan membenci. Islam meletakkan kemuliaan pada mereka yang bertakwa, yang tunduk pada keagungan Allah, dan menuruti perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.
Lidah kita adalah nikmat dan amanah daripada Yang Maha Esa. Gunakanlah ia dengan sebaiknya. Tuturkanlah kata-kata yang menggembirakan lagi menyatukan. Layanilah sesama kita dengan hormat dan ihsan, kerana di situlah letaknya benih keharmonian. Kezaliman terhadap satu sama lain bukan sahaja mencalar nilai kemanusiaan, bahkan menjerumuskan kita ke lembah dosa di sisi Tuhan.
Sidang Jumaat yang dihormati,
Usaha Nabi s.a.w. dalam mempersaudarakan Muhajirin dan
Ansar, serta membina hubungan damai dengan golongan bukan Islam selepas Hijrah, membuktikan bahawa Islam adalah cahaya yang menyinari jalan persaudaraan, kesaksamaan dan keharmonian.
Islam menyeru kepada masyarakat yang menyemai kasih di tengah kepelbagaian. Di dunia ini, kita diamanahkan menjadi pembawa rahmat dan penyeru keadilan. Bukan sekadar sesama Islam, tetapi untuk seluruh umat manusia, tanpa batasan.
Semoga Allah s.w.t. menjadikan kita ummat yang menyulam kedamaian, menjalin ukhuwah tanpa menghiraukan perbezaan, agar rahmat-Nya mengiringi setiap langkah, di dunia dan di akhirat. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.
Khutbah Kedua