collections khutbah Ganjaran yang ditangguhkan – Satu gagasan al-Quran
Ganjaran yang ditangguhkan – Satu gagasan al-Quran

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

12 Jun 2026 / 26 Zulhijjah 1447H

Ganjaran yang Ditangguhkan – Satu Gagasan Al-Quran

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Suburkanlah ketakwaan dalam kehidupan kita. Taati segala perintah Allah dan hindari segala tegahan-Nya. Semoga cahaya Al-Quran terus menerangi perjalanan kita menuju keredaan Allah s.w.t. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Minggu lalu, mimbar telah memulakan siri khutbah tadabbur dengan meneliti perintah Allah menerusi wahyu pertama, iaitu Surah Al-‘Alaq. Sebagai kesinambungannya, khutbah minggu ini mengajak kita merenungkan dua potong ayat suci Al-Quran di dalam Surah Al-A’la, ayat 16-17. Firman Allah s.w.t.:

Yang bermaksud: “Bahkan kamu mengutamakan kehidupan dunia; sedangkan kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal.”

Bersesuaian dengan pendekatan tadabbur, ayuh bersama kita fikirkan: Apakah kaitan ayat ini dengan cara kita membentuk perjalanan kehidupan di dunia?

Sekali imbas, dua ayat ini menunjukkan lumrah manusia yang lebih mudah terpesona dengan kehidupan dunia yang bersifat sementara, sedangkan Allah telah menegaskan bahawa kehidupan akhirat adalah lebih baik. Namun saudara, sekiranya kita meneliti ayat-ayat ini dengan mendalam, kita akan bertanya dengan lebih lanjut:

Mengapa manusia lebih suka mengutamakan kesenangan dan keseronokan dunia, sekalipun dia percaya dengan kehidupan selepas kematian?

Kerana dunia terasa lebih dekat. Ia mudah dilihat, disentuh dan dirasai dengan segera, berbanding ganjaran akhirat yang walau indah pada khabarnya, namun belum sesekali dapat disentuh oleh deria rasa dan pandangan mata.

Seterusnya, mengapa Allah s.w.t. memberikan kita nikmat kehidupan dunia, sedang Dia menyatakan bahawa akhirat itu adalah lebih baik?

Kerana kehidupan dunia dibentangkan kepada kita sebagai medan ujian, untuk melihat sama ada kita dapat menguruskannya dengan penuh kesedaran. Atau sebaliknya, ia menjerumuskan kita ke lembah kealpaan dan kezaliman, kepada diri sendiri atau orang lain.

Seterusnya, adakah ayat ini menyuruh kita menolak urusan dunia serta-merta, lalu memberi sepenuh perhatian kepada kehidupan akhirat semata-mata?

Tidak, kerana Al-Quran juga menegaskan bahawa seorang mukmin bersikap amanah dan tidak mengabaikan urusan dunianya. Firman Allah dalam Surah Al-Qasas, ayat 77:

Yang bermaksud: “Dan tuntutlah (dengan harta kekayaan) yang telah dikurniakan Allah kepadamu (akan pahala) dan kebahagiaan hari akhirat, dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia.”

Saudaraku,

Di sini, kita dapat memahami sesuatu yang lebih halus daripada sekadar perbandingan kehidupan dunia dan akhirat. Benar, ayat 16-17 Surah Al-A’la menggambarkan bahawa manusia sering memilih kesenangan yang dapat dinikmati dengan segera, sedangkan ada ganjaran lebih besar yang tertangguh, menanti mereka yang sabar serta tunduk kepada ketentuan Allah s.w.t.

Hakikatnya, syariat Islam melatih jiwa kita mengenal pasti dan mengutamakan ganjaran yang lebih besar di sisi Allah s.w.t.

Contohnya, mengapakah Islam mengajar kita menundukkan pandangan, walaupun nafsu sering menjurus kepada keseronokan yang lebih segera? Mengapa agama mendidik kita menjauhi sumber rezeki yang tidak halal, seperti hasil perjudian atau perniagaan barangan haram dan memudaratkan, walaupun ia tampak lebih mudah dan cepat mendatangkan keuntungan? Mengapa agama manganjurkan kesabaran dan kemaafan apabila marah, sedangkan lebih mudah untuk menghamburkan perasaan yang menyesakkan jiwa?

Dalam setiap keadaan ini, kita sedang dilatih mengorbankan keinginan yang segera, sekaligus memilih ganjaran yang lebih besar dan utama. Inilah yang boleh kita fahami sebagai satu gagasan Al-Quran: ganjaran yang ditangguhkan. Ia juga dikenali dalam bahasa masa kini sebagai delayed gratification.

Hakikatnya, gagasan ini telah lama dibentuk oleh Al-Quran melalui perintah Allah s.w.t.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Dua ayat dalam Surah Al-A’la ini mengedepankan konsep yang sebenarnya dekat dengan kehidupan kita semua. Malah, kita menghadapinya setiap hari.

Dalam dunia hari ini, kita sering berdepan dengan pilihan: antara keseronokan segera dan ganjaran yang lebih berkekalan. Kita menghadapinya dalam cara kita menggunakan masa, dalam cara kita membelanjakan harta dan dalam cara kita mengurus perhatian serta emosi kita.

Contohnya, semasa waktu lapang, adakah kita memilih untuk menggunakannya dengan perkara yang memberi manfaat jangka panjang, atau sekadar mengejar hiburan dan kepuasan seketika? Apabila hubungan diuji ketegangan, adakah kita memilih untuk bertenang dan mencari kesefahaman, atau mengambil tindakan segera yang mungkin meninggalkan kesan buruk pada masa akan datang?

Inilah realiti konsep “ganjaran yang ditangguhkan” dalam kehidupan kita hari ini. Ia seharusnya membentuk interaksi kita dalam rumah tangga, dalam kerjaya, di sekolah, malah dengan telefon bijak di tangan kita, serta dalam setiap keputusan kecil yang kita ambil setiap hari.

Maka fikirkanlah: adakah dua ayat yang sering kita dengari ini benar-benar dihayati dan dijadikan pedoman, sehingga membawa perubahan yang baik dalam kehidupan?

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Dunia dan akhirat bukanlah dua jalan yang terpisah. Kita tidak diminta untuk memilih antara dunia atau akhirat. Bahkan, setiap usaha kita di dunia, seperti menjaga keluarga, mencari rezeki yang halal, menuntut ilmu, menahan diri daripada maksiat, semuanya boleh menjadi jalan yang menghubungkan dunia dan akhirat sekiranya dilakukan dengan niat mengharapkan keredaan Allah s.w.t.

Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kita hati yang mampu menilai dengan neraca akhirat, tanpa mengabaikan peranan serta tanggungjawab di dunia. Semoga Allah s.w.t. menjadikan kita daripada kalangan hamba-hamba-Nya yang sabar dan kuat dalam menahan diri, serta istiqamah dalam memilih jalan yang diredai-Nya. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Khutbah Kedua