collections khutbah Berlaku Benar Sebagai Kunci Syurga
Berlaku Benar Sebagai Kunci Syurga

Majlis Ugama Islam Singapura 

Khutbah Jumaat 

29 Ogos 2025 / 5 Rabiulawal 1447H

Berlaku Benar Sebagai Kunci Syurga

Jemaah yang dikasihi,

Setiap Mukmin pasti rindu untuk menatap raut wajah Rasulullah s.a.w. Maka, biarlah rasa rindu untuk bertemu Baginda menjadi dorongan untuk kita bersungguh-sungguh dengan penuh kejujuran bertakwa kepada Allah, dengan melaksanakan perintah-Nya, dan menjauhi larangan-Nya.  

 

Saudaraku, 

Percayakah anda bahawa terdapat satu etika atau prinsip moral yang boleh menjamin syurga untuk kita? Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud:  

“Sesungguhnya berlaku benar membawa kepada kebaikan, dan kebaikan membawa kepada syurga. Dan seseorang itu akan terus berlaku benarsehinggalah dia dicatat di sisi Allah sebagai seorang yang sentiasa berlaku benar…”

 

Saudaraku yang dikasihi,  

Sesungguhnya sifat berlaku benar membentuk kehidupan seorang Mukmin secara keseluruhannya. Sifat ini menyuntik pengaruh positif pada cara seseorang berbicara dan berkelakuan; sama ada  dalam atau  luar pengetahuan manusia dan berinteraksi bersama makhluk Allah. 

Jika berlaku benar dapat menjadi kunci kita ke syurga kelak, pendustaan pula bakal mengheret kita ke neraka. Ini sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w. dari hadis yang sama yang bermaksud: 

“…Dan sesungguhnya pendustaan membawa kepada kekejian dan kekejian membawa kepada neraka. Dan seseorang itu akan terus berdusta sehinggalah dia dicatat di sisi Allah sebagai seorang yang kuat berdusta.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) 

 

Saudaraku yang dikasihi, 

Seorang Mukmin pasti berusaha untuk berlaku benar dan menjadikannya ciri keperibadian utama sehingga dia dikenali kerananya. Pada masa yang sama, seorang Mukmin adalah mereka yang berusaha menyingkirkan pendustaandaripada amalan hidup. Untuk mencapai matlamat ini, kita harus merenung dan menilai kembali sama ada pendustaan pernah wujud dalam kehidupan kita menerusi dua aspek berikut; iaitu pertuturan dan tingkah laku.

Pertama: Dalam pertuturan kita. 

Pendustaan dalam pertuturan boleh berlaku menerusi gejala memfitnah, menghina dan sebagainya. Terkadang juga, kerana bermotifkan gurauan dan jenaka, pertuturan yang berbaur pendustaan menjadi satu kebiasaan dalam perbualan kita.  

Kedua: Dalam tingkah laku kita. 

Pendustaan dalam tingkah laku sering kali hadir dalam bentuk kemunafikan — yakni menzahirkan sesuatu gambaran yang baik dan menyembunyikan kekejian yang sebenar. Ia juga terkadang berlaku dengan mengkhianati amanah dan janji.  

 

Saudara yang dirahmati, 

Kepentingan untuk berlaku benar semakin ketara pada zaman yang dikuasai oleh interaksi digital yang tidak bersempadan. Wadah digital; walaupun terdapat banyak kesan positif dan manfaatnya, tidak sunyi dari unsur negatif yang sering kali mengaburkan sempadan kepalsuan. Ia menjadi wadah menyebar kebencian, menjatuhkan orang lain, menampilkan imej palsu dan banyak lagi. Ini juga merupakan satu lagi bentuk pendustaan.

Seorang Mukmin yang berlaku benar akan bersifat konsisten. Personanya tetap sama. Sama ada di alam digital atau sebaliknya, zahir atau batinnya, tetap menegakkan kebenaran dan kejujuran. Mengapa demikian saudara-saudara sekalian? Kerana seorang Mukmin sedar bahawa Allah melihat segala yang dilakukan, mendengar segala yang dituturkan dan mengetahui segala apa yang disembunyikan dari penglihatan.  

Sekiranya kita ingin berkongsi maklumat dan pandangan di wadah digital, pastikanlah ia sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat, dan bukan sesuatu yang tidak berfaedah atau yang boleh menimbulkan kekeliruan dan kecelaruan. Berlaku benarlah dalam setiap perkongsian. 

 

Wahai Pencinta Rasulullah s.a.w. sekalian, 

Sebagai pencinta Rasulullah s.a.w., kita sentiasa berlaku benar dalam tutur kata mahupun kelakuan dan suara hati. Kita tidak akan sekali-kali bersekongkol dengan pendustaan. Kita hanya layak mengaku benar-benar mencintai Rasulullah s.a.w., sekiranya kita bersungguh-sungguh berusaha untuk berlakubenar, sepertimana yang ditunjukkan oleh Baginda s.a.w. Marilah kita hayati wahyu Allah kepada Baginda s.a.w. dalam Surah At-Tawbah, ayat 119: 

 

Yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, dan (hendaklah) kamu bersama orang-orang yang berlaku benar.” 

Ya Allah, ampunilah kesilapan kami, masukkanlah kami ke syurga-Mu, agar kami dapat bertemu kekasih-Mu Nabi Muhammad s.a.w., dan agar kami dapat berhimpun bersamasama para Nabi dan mereka yang berlaku benar dalam beriman kepada-Mu. Amin, ya Rabbal ‘Alamin. 

        

Khutbah Kedua