collections khutbah Belia dan Cabaran Masa Kini
Belia dan Cabaran Masa Kini

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

1 Mei 2026 / 13 Zulkaedah 1447H

Belia dan Cabaran Masa Kini

Zumratal mukminin rahimakumullah,

Bertakwalah kepada Allah s.w.t. di setiap saat dan ketika. Taati segala perintah-Nya dan jauhi segala larangan-Nya. Semoga kita berjaya di dunia dan akhirat. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Saudaraku, terutama golongan belia,

Dalam Surah Al-Kahfi, terakam kisah segolongan pemuda yang teguh atas jalan keimanan, walaupun mereka dikelilingi persekitaran yang mencabar keimanan. Firman Allah s.w.t. dalam ayat ke-13:

Yang bermaksud: “Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka adalah orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan (oleh yang demikian) kami tambahkan kepada mereka petunjuk.

Ulama tafsir berpandangan bahawa, walaupun beberapa ayat sebelumnya telah menyebutkan perkataan “fityah” yang bererti pemuda, ia diulang sekali lagi dalam ayat ini untuk menonjolkan sifat mereka, yakni bukan sebagai golongan pemuda biasa, tetapi pemuda yang hatinya beriman dengan Allah.

Al-Imam Ibn Kathir menjelaskan bahawa golongan pemuda Ashabul Kahfi ini lebih terbuka menilai semula perspektif dan menerima kebenaran berbanding golongan yang lebih berusia. Walaupun mereka hidup di zaman yang menguji keimanan, mereka tetap teguh dengan prinsip, dan meletakkan sepenuh usaha dan kebergantungan kepada Allah s.w.t.

Maka ketahuilah, Allah tidak menilai seseorang pada usianya, tetapi pada hati yang ikhlas dan jiwa yang tunduk kepada panduan-Nya. Kisah pemuda Ashabul Kahfi ini menjadi saksi bahawa Allah mengangkat darjat, memelihara iman dan memuliakan mereka yang mengenal Tuhannya. Walaupun mereka terdiri daripada golongan pemuda.

Saudara yang dirahmati Allah,

Konteks dan cabaran golongan belia hari ini amat jauh berbeza jika dibandingkan dengan apa yang kita saksikan 15 atau 20 tahun yang lalu.

Dewasa ini, banyak pencapaian positif yang dapat kita saksikan, yang mencerminkan kemampuan dan kebolehan belia dalam segenap lapangan. Pada masa yang sama, tidak dapat kita nafikan, bahawa di zaman ini, masih terdapat isu dan gejala sosial yang kadangkala golongan belia terpalit dengannya.

Mengapa begitu, saudara-saudaraku? Jawapannya, kerana dunia semakin terbuka. Pengaruh norma sejagat, baik positif mahupun negatif, semakin tersebar luas tanpa sempadan. Maklumat bergerak begitu pantas menerusi media digital.

Cabaran belia hari ini sebenarnya mencerminkan cabaran lebih besar yang boleh melanda segenap lapisan masyarakat esok. Ini kerana remaja hari ini adalah bakal ibu bapa, bakal pemimpin dan bakal penjaga generasi yang akan datang.

Di sinilah kisah pemuda Ashabul Kahfi berbicara kepada kita dengan penuh makna. Mereka juga pernah berdiri di tengah-tengah cabaran dan tekanan yang menggoncang keimanan. Namun cabaran itu tidak meruntuhkan, bahkan memperkukuh keteguhan jiwa mereka.

Saudaraku,

Khutbah hari ini mengajak kita membentuk jati diri belia Muslim menerusi tiga panduan berikut:

Pertama: Menilai etika dan moral menerusi lensa Islam

Hari ini, nilai moral sering diukur berdasarkan hak individu (individual rights) dan persepsi masyarakat. Hak kebebasan diberi penekanan, namun soal tanggungjawab, amanah dan harga diri kurang dipertimbangkan. Lihatlah bagaimana norma sosial hari ini, yang turut dibentuk oleh media, memandang hubungan seksual di luar ikatan pernikahan hanya menerusi lensa kebebasan dan kerelaan, tanpa mengambil kira kesan jangka panjangnya kepada individu, keluarga dan masyarakat.

Islam memandang isu ini dengan lebih menyeluruh. Ia mengambil kira maslahat jangka panjang, seperti menjaga pertalian nasab, kehormatan diri serta moral masyarakat. Itulah sebabnya Islam menetapkan bahawa hubungan antara lelaki dan wanita hanya dibenarkan dalam ikatan perkahwinan yang diterima syarak. Ini adalah satu bentuk perlindungan yang lahir daripada kasih sayang Allah s.w.t. kepada hamba-Nya.

Maka tidak semua yang diterima oleh manusia selari dengan apa yang dipandu oleh wahyu. Islam tidak menafikan hak, tetapi mengimbanginya dengan tanggungjawab dan hikmah yang berpaksikan kepada keredaan Allah s.w.t.

Kedua: Keberanian memilih kebenaran, bukan kebiasaan

Salah satu ujian terbesar kita hari ini adalah apabila yang salah kelihatan biasa. Apabila sesuatu perkara menjadi kebiasaan, kita tidak lagi mempersoalkannya. Sebagai contoh, tabiat yang buruk seperti menuturkan kata-kata kesat dan berbaur lucah. Lebih membimbangkan, sekiranya perkara ini dianggap normal dan tidak perlu dihentikan atau diubah, sedangkan kita tahu bahawa ia sebenarnya adalah salah dan berdosa.

Saudaraku, Islam menegaskan bahawa kebenaran tidak diukur dengan jumlah bilangan. Alasan “ramai orang buat” tidak boleh dijadikan kayu ukur untuk menentukan sama ada sesuatu perkara itu betul atau salah. Allah berfirman dalam surah Al-Jathiyah, ayat 18 yang bermaksud: “Kemudian Kami jadikan engkau (Muhammad) berada di atas suatu syariat, maka ikutilah ia, dan janganlah engkau mengikuti kehendak orang-orang yang tidak mengetahui.

Justeru, seorang belia Mukmin, seperti pemuda Ashabul Kahfi, harus mampu membezakan antara hak dan batil. Inilah prinsip yang membezakan antara individu yang hanyut dibawa arus dan yang teguh berpegang pada panduan Ilahi.

Ketiga: Memilih teman perjalanan menuju Allah

Saudaraku, kita dibentuk oleh persekitaran, oleh mereka yang kita luangkan masa bersama, dan oleh suara-suara yang masuk ke dalam hati kita. Rasulullah s.a.w. pernah mengingatkan dalam hadithnya yang bermaksud: “Seseorang itu berada di atas cara (kebiasaan) hidup sahabatnya, maka hendaklah dia perhatikan dengan siapa dia bersahabat.” (Riwayat Ahmad) Hari ini, lingkaran sahabat serta pengaruh kita terdiri daripada mereka yang kita temui secara fizikal. Juga terdiri daripada suara dan wajah yang menemani kita di media sosial, serta nilai-nilai asing yang mempengaruhi tanpa kita sedari. Contohnya, melalui pempengaruh digital. Setiap klik, setiap tontonan, setiap ikutan, semuanya meninggalkan kesan kepada hati dan cara kita berfikir. Maka kita perlu bijak memilih teman perjalanan dan pengaruh yang membawa kita lebih dekat kepada Allah s.w.t.

Hadirin yang dimuliakan,

Sedarilah bahawa pembentukan jati diri dalam kalangan belia bukan hanya terletak pada pundak mereka semata-mata. Ia juga merupakan amanah bagi golongan lebih dewasa untuk membimbing dengan hikmah dan kasih sayang.

Bersama-samalah kita berusaha melahirkan belia yang teguh imannya, jelas prinsipnya dan bijaksana dalam menghadapi cabaran zaman. Semoga Allah s.w.t. membimbing kita semua ke jalan yang diredai-Nya. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Khutbah Kedua