

Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
30 Oktober 2026 / 19 Jamadilawal 1448H
Al-Quran Menyinari Hati, Memperindah Peribadi

Zumratal mukminin rahimakumullah,
Marilah kita bertakwa kepada Allah s.w.t. dengan menunaikan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga takwa yang kita bawa hari ini menjadi sumber kegembiraan kita di akhirat. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.
Jemaah yang dirahmati sekalian,
Allah s.w.t. menggambarkan Al-Quran atau Kalamullah dengan sifat-sifat yang agung, antaranya: nur (cahaya), huda (petunjuk), syifa’ (penawar) dan tazkirah (peringatan).
Sifat-sifat ini mendorong kita menilai hubungan kita dengan Al-Quran. Adakah ia benar-benar menjadi cahaya hidup kita, petunjuk apabila kita membuat keputusan kehidupan, penawar rohani dan hati kita, dan peringatan yang membentuk akhlak kita? Atau kita masih terhenti pada bacaan lisan semata-mata?
Allah s.w.t. berfirman dalam Surah Muhammad, ayat 24:

Yang bermaksud: “Maka tidakkah mereka mentadabbur Al-Quran, ataukah hati mereka terkunci?”
Adakalanya, kelemahan dan kekurangan diri menghalang kita daripada menghayati dan mengamalkan ajaran Al-Quran dengan sebaiknya. Justeru, usaha mendekati Al-Quran perlu seiring dengan usaha memperbaiki diri dan menyucikan hati, agar Kalamullah terus menjadi penyuluh yang menyinari hidup dan memperindah peribadi.
Jemaah sekalian,
Al-Quran mengajak kita mengenali kelemahan diri, di samping menyedari potensi kebaikan yang Allah kurniakan. Marilah kita renungkan empat peringatan Al-Quran yang membimbing usaha kita memperbaiki diri dan memperindah peribadi.
Pertama: Merendah hati
Allah s.w.t. menggambarkan sifat manusia yang merasa serba cukup dalam Surah al-‘Alaq, ayat 6-7 yang bermaksud: “Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas, kerana melihat dirinya serba cukup”, dan sifat suka berbantah dalam Surah al-Kahfi, ayat 54 yang bermaksud: “Dan manusia itu adalah yang paling banyak membantah.”
Saudara, ayuh, bersama kita mendekati Al-Quran dengan hati yang terbuka, bersedia menerima teguran dan memperbaiki diri, walaupun petunjuknya mencabar kebiasaan atau kehendak kita.
Kedua: Melatih kesabaran
Allah s.w.t. menggambarkan manusia sering tergesa-gesa dalam Surah al-Isra’, ayat 11 yang bermaksud: “...dan manusia itu sememangnya tergesa-gesa”, dan tidak sabar ketika ditimpa kesusahan dalam Surah al-Ma’arij, ayat 19-21 yang bermaksud: “Sesungguhnya manusia dicipta dalam keadaan resah gelisah; apabila ditimpa kesusahan, dia berkeluh kesah...”
Hadirin sekalian, menghayati Al-Quran memerlukan kesabaran. Luangkanlah masa untuk memahami maknanya, merenungi pengajarannya dan mengamalkannya secara bertahap.
Ketiga: Menyuburkan kesyukuran
Allah s.w.t. menggambarkan sifat manusia yang tidak bersyukur dalam Surah al-‘Adiyat, ayat 6 yang bermaksud: “Sesungguhnya manusia sangat tidak berterima kasih kepada Tuhannya”, dan cintanya yang berlebihan kepada harta dalam Surah al-Fajr, ayat 20 yang bermaksud: “Dan kamu mencintai harta dengan kecintaan yang melampau.”
Saudaraku, syukurilah nikmat petunjuk Al-Quran dengan menghayati ajarannya, serta tidak membiarkan kesibukan dan keinginan duniawi melalaikan kita daripadanya.
Keempat: Memperindah akhlak
Allah s.w.t. menggambarkan sifat kedekut manusia dalam Surah al-Isra’, ayat 100 yang bermaksud: “Katakanlah: ‘Sekiranya kamu memiliki perbendaharaan rahmat Tuhanku, nescaya kamu menahannya kerana takut membelanjakannya.’ Dan manusia itu sememangnya sangat kedekut.”
Saudara, jadikanlah Al-Quran panduan untuk memperindah akhlak. Ia dibaca, difahami, dan diterjemahkan melalui sikap prihatin, kemurahan hati dan kebaikan terhadap sesama insan.
Sidang jemaah yang dirahmati Allah,
Walau apa pun kelemahan kita, teruslah mendekati Kalamullah dan memperbaiki diri berpandukan ajarannya. Semoga Al-Quran menjadi nur yang menerangi hati, membimbing langkah dan memperindah peribadi kita. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Khutbah Kedua

