Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
11 Julai 2025 / 15 Muharram 1447H
Bertakwalah kepada Allah yang memberikan kita segala yang ada di alam maya ini. Dirikanlah perintah-Nya dan jauhi larangan-Nya. Dan lakukanlah semua itu dengan berbekalkan ilmu agama yang sahih.
Jika saya bertanya, apakah anda yakin bahawa waktu zohor hari ini adalah betul, sebagaimana ketetapan hukum fikah, apa jawapan anda? Jika ya, apa sandaran anda? Jika tidak, apa pula alasannya?
Allah s.w.t berfirman dalam Surah An-Nahl, ayat 43:
Yang bermaksud: “Maka bertanyalah kepada ahluz-zikr (orang yang mempunyai pengetahuan) jika kamu tidak mengetahui.”
Saya yakin kita pernah mendengar ayat ini dan memahami mesejnya. Kita disuruh bertanya kepada yang lebih tahu. Dalam persoalan yang saya utarakan tadi, ini bererti kita perlu bertanya kepada pakar falak syar’iy, kerana merekalah yang membuat perkiraan dan pertimbangan dalam menentukan waktu solat.
Persoalan seterusnya, jika kita hanya menjadi orang yang bertanya, dan tiada yang berminat menjadi ahluz-zikr – golongan yang berilmu (dalam apa jua bidang yang bermanfaat), apakah yang akan terjadi? Jawapannya, kita akan ketandusan pakar dalam apa jua lapangan. Kita akan hanya menjadi penerima, dan bukan penyumbang. Dan ini bukanlah kitaran ilmu yang dituntut Islam. Kita mesti menjadi mukmin yang berilmu, dan memartabatkan ilmu untuk manfaat generasi hari ini dan akan datang, dan menyiapkan generasi pelapis. Inilah mesej yang hendak disampaikan khutbah pada hari ini.
Beberapa hari lalu, kita baharu saja kehilangan seorang tokoh ilmuan, agamawan dan mantan mufti Singapura yang kedua, Syeikh Syed Isa Semait yang kembali ke rahmatullah. Tahukah anda, bahawa di antara keistimewaan beliau ialah kesungguhan beliau belajar dan mempertajam pengetahuannya dalam bidang ilmu falak?
Beliau juga adalah satu-satu Mufti di rantau ini yang mahir dalam bidang ilmu falak. Dan seawal pertengahan tahun 70-an, almarhum Sheikh Syed Isa, dengan pengalaman dan kemahirannya, sudah mula mengesyorkan dan membincangkan dengan barisan ulama dalam Jawatankuasa Fatwa agar pendekatan hisab digunakan dalam menetapkan takwim Islam di Singapura.
Ini adalah kerana faktor geografi dan atmosfera Singapura yang sentiasa berawan dan dicemari cahaya, pencerapan hilal atau rukyah mustahil boleh dicapai di ufuk barat Singapura.
Atas dasar ini jugalah, beliau merasakan kewujudan pakar dalam bidang falak perlu dipupuk terus di negara ini. Walaupun kita bernasib baik kerana ada generasi pelapis dalam bidang ini, kita perlu bersama memikirkan langkah seterusnya, dalam lapangan lain. Atas keyakinan dan semangat inilah, usahausaha pembangunan sebegini kita teruskan.
Sebagai satu masyarakat Islam, kita perlu melihat kitaran ilmu bermanfaat, serta mewujudkan ekosistem ahluz-zikr, sebagai satu amanah dan visi yang perlu sentiasa dilestarikan. Kita perlu mewujudkan generasi pelapis yang mantap pengetahuan Islamnya, sehingga mampu menggalas cabaran akan datang.
Kita mesti melahirkan lebih ramai pakar dalam lapangan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik atau STEM, sehingga mampu menyahut cabaran dengan berpandukan ilmu kepakaran dan etika Islam.
Untuk mencapai matlamat ini, khutbah ingin menyarankan dua usulan berikut:
Pertama: Tanamkan inspirasi melahirkan ilmuan Islam menerusi pertalian kekeluargaan dan persahabatan.
Kita bersama menyedari bahawa, setiap individu memainkan peranan mempromosikan budaya dan kitaran ilmu yang bermanfaat. Secara kolektif, kita menggalakkan mereka di sekeliling untuk menjadi ahluz-zikr; ilmuan Islam. Mereka yang saya maksudkan di sini ialah ahli keluarga dan rakan taulan.
Tidak lupa juga, kita harus membudayakan sifat cinta ilmu secara progresif, sehingga ia menjadi satu amalan kelaziman masyarakat, dan terus diwarisi oleh generasi akan datang.
Sesungguhnya, hubungan kekeluargaan dan persahabatan yang erat berpotensi besar membentuk persepsi positif, dan memberikan mereka inspirasi untuk terlibat dalam usaha murni tersebut.
Usulan kedua: Menyumbang kepada perkembangan ilmu mengikut kemampuan masing-masing.
Marilah kita zahirkan rasa syukur serta sikap amanah yang tinggi dengan terus menimba ilmu dan menyumbang kembali kepakaran kita kepada masyarakat.
Jika ini tidak dapat dilakukan secara langsung, pertimbangkan pula kata-kata hikmah berikut: “Jadilah seorang ilmuan, atau penuntut ilmu, atau pencinta ilmu, atau pendengar ilmu. Janganlah kamu menjadi yang kelima, nescaya kamu akan binasa.”
Dalam erti kata lain, kita masih boleh memberikan sokongan menerusi nasihat, kata perangsang atau sumbangan material. Sesungguhnya, sumbangan yang membuka jalan ilmu pada orang lain adalah satu amal soleh, selagi mana kita ikhlas dalam perbuatan tersebut.
Marilah kita sebagai sebuah masyarakat, membina generasi ahluz-zikr yang mengharumkan nama agama, bangsa dan negara. Panjatkanlah juga doa, agar Allah s.w.t. menghidupkan semangat takwa dalam diri, ahli keluarga, serta masyarakat kita. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.
Khutbah Kedua